KUFC tambah dua lagi pemain import dari Kyrgyzstan dan Brazil
Bernama
Januari 23, 2023 05:30 MYT
Januari 23, 2023 05:30 MYT
KOTA BHARU: Dua lagi pemain import masing-masing seorang dari Kyrgyzstan dan Brazil akan memperkuatkan pasukan Kelantan United Football Club (KUFC), bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini, kata Ketua Pegawai Operasinya Wan Mohd Zul Ikman.
Wan Mohd Zul berkata dua pemain itu ialah Ernist Batyrkanov, 25, dari Kyrgyzstan dan Yan Victor Silva Paixao, 27, dari Brazil.
"Ernist Batyrkanov akan bermain di posisi penyerang, manakala Yan Victor bermain di bahagian pertahanan tengah pasukan pada musim ini.
"Kedua-kedua pemain import ini telah menandatangani kontrak bersama pasukan selama semusim, semalam," katanya ketika dihubungi Bernama, semalam.
Sebelum ini, KUFC mengumumkan penyertaan pemain import dari Senegal, Morgaro Lima Gomis ke dalam pasukan itu, manakala dua lagi pemain import akan diumumkan dalam masa terdekat menjadikan keseluruhan lima pemain import akan membarisi Kijang Hijau, bagi mengharungi cabaran Liga Super musim ini.
Mengulas lanjut, Wan Mohd Zul berkata Ernist Batyrkanov berkebolehan beraksi di posisi sayap kiri dan kanan, selain memiliki pengalaman beraksi di Liga Utama Armenia serta Kazakhstan.
"Pemain itu (Ernist Batyrkanov) menjaringkan 13 gol dan merupakan pemain kebangsaan negaranya.
"Bagi Yan Victor pula, beliau merupakan bekas pemain kebangsaan skuad B-15 dan B-17 Brazil, namun memulakan karier awalnya bersama kelab Liga Utama Portugal, Gil Vicente pada musim 2016," katanya.
Saingan Liga Super musim ini dijangka bermula 24 Feb ini.
-- BERNAMA