KUFC pertaruh pelatih muda dari Jepun
Bernama
Disember 5, 2020 07:39 MYT
Disember 5, 2020 07:39 MYT
KOTA BHARU: Kelantan United (KUFC) mengambil langkah berani apabila mempertaruhkan jurulatih muda Akira Higashiyama yang berusia 31 tahun dari Jepun, untuk membimbing pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Presidennya Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, keputusan pasukannya menandatangani kontrak selama setahun dengan jurulatih dari negara matahari terbit itu, berdasarkan prestasinya membimbing pasukan Kuching FA (Kuching City) musim lalu.
"Walaupun muda, beliau (Akira) memperlihatkan prestasi yang cukup baik pada musim lepas, di mana beliau bersama dengan Kuching FA membawa satu perubahan drastik terhadap corak permainan pasukan itu.
"Apabila diberikan tanggungjawab sepenuhnya membimbing Kuching FA pada perlawanan-perlawanan terakhir saingan Liga Premier, beliau menghadiahkan kemenangan sehingga membawa Kuching FA layak beraksi pada cabaran Piala Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) KUFC bersama dengan Syarikat minuman pribiotik Yakult (M) Sdn Bhd di sini, malam tadi.
Che Abdullah berkata menandatangani jurulatih itu antara langkah awal bagi mempersiapkan pasukannya yang akan memulakan sesi latihan pada 21 Dis ini.
"Keputusan kita ambil Akira di atas keyakinan bahawa orang Jepun kerja kuat dan bersungguh dalam melaksanakan kerja dan sebagainya, ia memperlihatkan keseriusan kami untuk meberikan cabaran sengit pada saingan Liga-M 2021.
"Tentang baki tiga lagi pemain import kami akan membuat penilaian bersama Akira, kami berharap Akira mampu membawa perubahan kepada KUFC," katanya.
Beliau berkata Akira tidak hanya mempunyai pengetahuan dengan suasana permainan Liga-M, malah dia berpengalaman luas dalam bidang kejurulatihan apabila pernah membimbing kelab di beberapa negara seperti Monggolia dan New Zealand.
"Akira mempunyai Lesen jurulatih Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Lesen A kejurulatihan serta melakar kejutan pada musim lepase setelah membantu kelab dari Sarawak itu menamatkan saingan Liga Premier di kedudukan keempat," katanya.
Selain itu, KUFC turut menandatangani MoU dengan pemain import dari Jepun Yuki Tanigawa yang pernah menyertai Kuching FA pada musim lalu dan kini akan bermain di posisi tengah bagi KUFC.
-- BERNAMA
#Kuching City
#Akira Higashiyama
#jurulatih
#Jepun
#KUFC
#Kelantan United
#Liga Malaysia
#Liga-M
#bola sepak