KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatat kemenangan penting selepas berhempas pulas menundukkan Kuching City FC 2-1 dalam perlawanan Liga Super 2024/2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, malam tadi.

Skuad Harimau Selatan, yang sedang mengharungi jadual aksi padat berikutan bermulanya kempen Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia Elit (ACL Elite), dilihat tampil dengan corak taktikal berbeza. Selain itu, mereka turut merehatkan beberapa pemain utama, termasuk penyerang prolifik Bergson Da Silva.

Namun, pemain import dari Brazil itu dimasukkan bagi menggantikan pemain tengah Enzo Lombardo yang mengalami kecederaan pada minit ke-15. JDT hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-39 menerusi Jorge Obregon, namun gol tersebut dibatalkan kerana beliau berada di kedudukan ofsaid.

Selepas aksi separuh masa pertama berkesudahan tanpa jaringan, JDT kendalian Hector Bidoglio akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-48. Gol tersebut terhasil menerusi tandukan bijak Bergson yang menyempurnakan hantaran lintang Arif Aiman Mohd Hanapi.

Obregon mengalami kekecewaan kedua apabila jaringannya pada minit ke-52 sekali lagi dibatalkan kerana ofsaid. Namun, JDT tetap berjaya menggandakan kedudukan apabila Juan Muniz Gallego menyudahkan umpanan Bergson pada minit ke-81.

JDT cemas seketika apabila Kuching City, yang dikendalikan oleh Aidil Sharin Sahak, berjaya merapatkan jurang dua minit kemudian menerusi pemain gantiannya, Luiz Fernando Barnaske Welter, yang terpaksa disahkan oleh pengadil melalui semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

JDT dijadual bertemu kelab China Shanghai Shenhua FC pada aksi kedua Kumpulan A ACL Elite di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa depan.

Kemenangan berharga itu menyaksikan JDT kini menerajui persada liga dengan mengumpul 31 mata selepas 11 perlawanan, meninggalkan pencabar terdekat Selangor FC di kedudukan kedua dengan 22 mata selepas 10 aksi.

Pemain Negeri Sembilan FC Sebastian Osbol Avanzini (dua, kanan) diasak keras oleh Oday Ali (kanan) ketika perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam tadi. --fotoBERNAMA

Di Seremban, dua pertembungan pasukan tercorot menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri selepas tewas kepada Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 2-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Babak pertama permainan menyaksikan pasukan pelawat terlebih dahulu membuka akaun jaringan seawal minit ke-14 hasil rembatan luar kotak penalti Hakimi Abdullah sebelum melebarkan penguasaan dengan jaringan kedua hasil penyudah Kim Likwan pada minit ke-36.

NSFC mensia-siakan peluang untuk merapatkan jurang lebih awal selepas pemain import dari Brazil, Ricardo Pires, gagal menyempurnakan penalti pada minit ke-60. Namun, Jacque Faye berjaya menyudahkan penalti kedua pasukan pada minit ke-83 sebelum Sebastian Avanzini menyamakan kedudukan lima minit berselang.

Bagaimanapun, kegembiraan NSFC tidak berpanjangan apabila KDN FC berjaya menambah jaringan pada minit-minit akhir perlawanan hasil sepakan Oday Ali Abdalrahim Kharoub dari luar kotak penalti, sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan dan memintas kedudukan NSFC.

-- BERNAMA