Kubu stadium baru Tottenham runtuh 'dihentak' Hammers

Astro Arena
April 27, 2019 05:24 MYT
Antonio (kanan) menjaringkan gol kemenangan West Ham di Stadium Tottenham Hotspur. - Foto Stadium Astro.
MISI Tottenham untuk memburu tempat dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tergugat apabila tunduk 0-1 kepada West Ham dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), pada Sabtu.
Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu, yang bergantung kepada jaringan Christian Eriksen pada minit ke-88 untuk memastikan mata penuh ketika menentang Brighton & Hove Albion, Selasa lalu, gagal mengulangi pendekatan yang sama.
Kali ini, di stadium baru mereka, Tottenham dihukum oleh gol Michail Antonio pada minit ke-67, kali pertama Spurs tersungkur di laman baru mereka.
Tuan rumah yang akan turun dalam pertemuan pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang Ajax Rabu ini, memiliki peluang menerusi gerakan yang disia-siakan Son Heung-min, selain peluang Vincent Janssen dinafikan pada penghujung permainan sambil Lukasz Fabianski pula mempamerkan kecemerlangannya mengemudi gawang West Ham.
Persembahan longlai Spurs diburukkan lagi dengan jaringan Antonio dari jarak dekat untuk kekalahan pertama Spurs di Stadium Tottenham Hotspur, sekali gus menjadikan perlumbaan merebut kedudukan empat teratas masih terbuka.
Son sepatutnya melakukan penyudah yang lebih baik ketika menerima lorongan Dele Alli pada minit ke-11 tetapi pemain kebangsaan Korea Selatan tersebut sebaliknya gagal menghasilkan rembatan yang mampu mengalahkan Fabianski.
Felipe Anderson berdepan situasi serupa apabila melepaskan percubaan yang tepat ke arah Hugo Lloris selepas menyusup dari sebelah kiri sementara tendangan Lucas Moura meliar.
Giliran Marko Arnautovic pula menguji Lloris setelah keyakinan West Ham meningkat sejurus permainan bersambung.
Tottenham menuntut penalti apabila mendakwa Son dijatuhkan Arthur Masuaku selepas usahanya untuk melepaskan rembatan disekat.
Ketabahan West Ham mendapat pulangan besar tidak lama selepas itu apabila Antonio membuat kawalan menarik ketika menyambut umpanan Arnautovic sebelum menewaskan Lloris.
Antonio dan Diop berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan sebelum Fabian Balbuena bertindak cemerlang mengeluarkan bola daripada melintasi garisan gol ketika menyekat percubaan pemain gantian, Janssen.
#Arthur Masuaku #Christian Eriksen #Dele Alli #Felipe Anderson #Hugo Lloris #London Derby #Lukasz Fabianski #Michail Antonio #Son Heung-min #Spurs #Tottenham Hotspur #West Ham
;