Kualiti padang 'memalukan', sampai bila akan terus hantui SNBJ?

Astro Awani
Jun 15, 2022 20:57 MYT
Isu padang SNBJ hangat diperkatakan baru-baru ini lantas menimbulkan persoalan, sampai bila agaknya isu sama terus dibangkitkan? - Gambar fail/ Ihsan pembaca
SELEPAS keadaan padang dikritik hebat, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan ditutup bermula 15 Jun 2022.
Menurut beliau, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih segera dilakukan, lebih awal daripada jadual asal sebelum ini yang ditetapkan pada Mac 2023.
Hampir 25 tahun usianya, SNBJ menjadi saksi kepada bermacam peristiwa, ada yang membanggakan negara namun tak kurang juga yang sedikit sebanyak ‘mencalar’ imej Malaysia.
Kerja Baik Pulih | Stadium Nasional Bukit Jalil akan ditutup esok
Kualiti padang, misalnya, hangat diperkatakan baru-baru ini lantas menimbulkan persoalan, sampai bila agaknya isu sama terus dibangkitkan?
Hakikatnya, bukan pertama kali isu keadaan padang yang ‘memalukan’ diangkat menjadi topik perbualan, dari kedai kopi hinggalah ke pejabat menteri namun dua dekad berlalu, masalah sama masih menghantui.
Tahun 2013 misalnya, Allahyarham Datuk Zolkples Embong, ketika itu merupakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) pernah meluahkan kekecewaan dengan keadaan padang stadium nasional itu.
Kelayakan Piala Asia | Tindakan buang air guna penyodok cemar imej negara
Setahun kemudian, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada November 2014 menyatakan beliau kecewa dengan keadaan padang SNBJ walaupun baru dinaik taraf pada Oktober tahun sama.
Begitupun, sinar baharu SNBJ muncul pada 2017 selepas stadium itu dan kawasan sekitar dinaik taraf dan dikenali sebagai Bandar Sukan Kuala Lumpur (KL Sports City).
SNBJ diberi wajah baharu, lebih moden dan menawan namun sayangnya, kualiti padang masih membelenggu sehinggakan mendapat respons seorang lagi bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
BACA: Stadium Nasional ditutup mulai Rabu
Pada 2018, beliau berkata kos kira-kira RM10 juta bagi menaik taraf stadium itu bagi memastikan stadium itu memiliki padang lebih berkualiti dan tahan lama.
Tiga tahun selepas itu, pada september 2021, seorang lagi menteri baharu, Ahmad Faizal pula berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang dalam usaha untuk membaiki dan menaiktaraf SNBJ.
Namun sayangnya, memasuki tahun 2022, isu padang masih lagi dibangkitkan dan bergerak ke hadapan, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dijangka menggunakan jenis rumput lain.
Bukan lagi bermuda, cow grass dan paspalum tetapi rumput jenis zoysia, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim di Johor mungkin menjadi pilihan malah dilengkapkan dengan sistem perpaipan, perparitan, tanah dan pelbagai lagi.
Selain isu padang, penambahbaikan juga mungkin melibatkan infrastruktur asas lain termasuk kerusi penonton, tandas, kawasan parkir dan kelengkapan lain yang tidak mencapai kualiti diharapkan.
Fokus utamanya, memastikan SNBJ menepati kualitinya sebagai rumah buat pasukan Harimau Malaya, terus membanggakan Malaysia di serata dunia.
Bola Sepak | Padang 'teruk', sampai bila isu sama terus menghantui SNBJ?
#Stadium Nasional Bukit Jalil #Ahmad Faizal Azumu #Khairy Jamaluddin #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #padang teruk
;