KSKBC A muncul juara Kejohanan Badminton Astro Junior 2019
Hasimi Muhamad
September 22, 2019 14:14 MYT
September 22, 2019 14:14 MYT
Pantas dan konsisten!
Demikian gambaran aksi dipamerkan Kelab badminton KSKBC A apabila berjaya muncul juara pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Astro Junior (AJC) 2019, sekaligus membawa pulang wang tunai RM6,000.
Pasukan lawan, Tactical Winpro terpaksa akur dengan kehebatan KSKBC A selepas tumpas 0-3 dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Ahad.
Gabungan Kelab Kuantan Synergy Sports Centre dan Kepong Badminton Centre, KSKBC A memulakan rentak bergaya apabila pasukan beregu campuran mereka, Wee Yee Hern dan Siti Nurshuhaini Azman menyumbang mata pertama selepas menewaskan pasangan Lok Hong Quan dan Carmen Ting Wei Wen 21-13, 21-9.
Pasukan tersebut terus garang dan tidak memberi ruang kepada Tactical Winpro menyamakan kedudukan selepas pemain perseorangan lelaki KSKBC A, Darell Chew Sen Xian pula menundukkan Tamilarasukumar A/L Vijay, 21-5, 21-13.
Tidak menunggu lama, perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini tidak berdepan masalah menundukkan Chong Jie Yu straight sets 21–14, 21–5, sekaligus menyumbang mata kemenangan.
Menurut Pengurus Pasukan KSKBC A, Ivan Yee Hon Chung, tahap persefahaman para pemain, selain persiapan rapi selama sebulan menjadi tonggak kepada kemenangan tersebut.
“Pemain saya bermain dengan bagus dan mempamerkan prestasi yang baik. Saya berpuas hati dengan keputusan ini.
“(Pemain) kita mempunyai semangat berkumpulan dan (keupayaan) jurulatih untuk menganalisis setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu, Siti Nurshuhaini berkata pengalaman bermain dalam pelbagai kejohanan termasuk Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) memberi sedikit kelebihan untuk berdepan pasukan lawan.
“Kalau perlawanan campuran (menang) sebab pasangan saya (Wee Yee Hern) banyak membantu kerana lelaki lebih kuat. Selain itu, sebab saya bermain dengan (pasukan lawan) junior.
“(Perlawanan ASG) memberi kelebihan dari segi pengalaman dengan mengikut pasukan dan sokongan penyokong, semua itu saya bawakan ke sini untuk beri semangat kepada saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi Astro, Tammy Toh berkata, kejohanan ini merupakan platform terbaik bagi menyerlahkan bakat pemain muda, selain mempersiapkan mereka sebagai pelapis sukan badminton.
“Kami gembira melihat penyertaan para pemain pada Kejohanan Astro Junior (AJC). Mereka yang menyertai kami berusia antara 10 hingga 12 tahun dan sebenarnya menunjukkan perkembangan yang baik.
“Jadi, saya berharap kita dapat membantu mereka untuk meningkatkan kemahiran, dan siapa tahu mereka boleh menjadi bintang seterusnya,” katanya.
Sebelum itu tempat ketiga pula masing-masing dikongsi bersama pasukan NSBA dan Ampang Jaya BC (A).
Kejohanan AJC bawah 15 tahun ini dianjurkan Yayasan Astro Kasih (YAK) dan disokong oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ia turut mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan; 100Plus; dan Victor Sports.
#Ampang Jaya
#ASEAN
#ASJ
#badminton
#BAM
#Kejohanan Astro Junior
#Kementerian Belia dan Sukan
#KSKBC A
#pendidikan
#sukan
#Tactical Winpro
#Yayasan Astro Kasih