KRW umum pembatalan perjanjian dengan KAFA

Astro Arena
April 4, 2019 04:50 MYT
Fazli terkilan apabila banyak pihak menuding jari kepada KRW Sdn Bhd di sebalik segala masalah yang berlaku sedangkan permasalahan yang timbul disebabkan tindak-tanduk KAFA yang keterlaluan. - Astro ARENA
SYARIKAT MyInspiration Sdn Bhd yang menguasai 70 peratus saham Kelantan Red Warriors Sdn. Bhd (KRW) mengumumkan pembatalan perjanjian dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkuatkuasa serta-merta.
Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn Bhd, Fazli Mohammad, mendedahkan keputusan penting itu terpaksa dilakukan apabila pihaknya tidak lagi mampu bekerjasama dengan persatuan yang tidak serius untuk mematuhi perjanjian yang terkandung dalam kontrak yang ditandatangani bersama pada 24 Januari lalu.
"Keputusan ini adalah muktamad kerana saya tidak boleh bekerjasama dan berurusan dengan persatuan yang tidak menghormati kontrak yang ditandatangani sebelum ini. Pihak peguam saya sedang uruskan pembatalan perjanjian ini serta beberapa hal lain yang tidak boleh disebutkan," katanya.
Fazli juga mendedahkan secara terperinci konflik yang berlaku sehingga menyebabkan pembatalan kontrak dilakukan selepas hanya dua bulan lebih menjalinkan kerjasama.
"Selepas perjanjian pada 24 Januari lepas, Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, wajib menyerahkan kuasa penuh kepada KRW termasuklah akaun bank, buku cek, kontrak pemain Liga Perdana, Piala Presiden dan Piala Belia selain kontrak penajaan dan lain-lain seperti terkandung dalam dokumen perjanjian.
"Namun, sehingga 24 Mac, iaitu genap dua bulan, kami hanya terima kontrak pemain untuk tiga pasukan berkenaan sahaja.
"Sebelum itu, pada 6 Mac, ketika mengadakan pertemuan bersama Bibi Ramjani, timbalan presiden (Datuk Seri Afandi Hamzah), naib presiden (Nik Pakheruddin Nik Abdul Kadir) bersama peguam dan rakan kongsi kami, saya telah beritahu MyInspiration mahu tarik diri dan membatalkan perjanjian kerana menunggu terlalu lama.
“Selepas perjumpaan itu, kami masih memberi ruang kepada KAFA sehinggalah 24 Mac lepas. Namun, Bibi Ramjani masih gagal menyerahkan dokumen penting, termasuk akaun dan buku cek,” katanya.
Fazli juga terkilan apabila banyak pihak menuding jari kepada KRW Sdn Bhd di sebalik segala masalah yang berlaku sedangkan permasalahan yang timbul disebabkan tindak-tanduk KAFA yang keterlaluan.
"Selain itu, tindakan KAFA yang mengambil sepenuhnya RM130,000 hasil kutipan tiket perlawanan di antara Kelantan menentang Sabah yang sepatutnya dimasukkan terus ke dalam akaun Kelantan Red Warriors Sdn Bhd. Kalau mengikut perjanjian, KAFA tidak mempunyai hak terhadap kutipan itu.
"Pihak kami juga telah mendahulukan bayaran gaji pemain (sebagai pinjaman) sebanyak RM300,000 sebelum aksi menentang Selangor United dalam perlawanan Liga Perdana di Selayang mengikut senarai yang diberikan KAFA (bukannya ikut kontrak). Selain itu, bayaran lain berjumlah RM100,000.
"Kami juga telah bertolak-ansur begitu banyak, termasuk daripada segi duit ringgit yang sepatutnya diuruskan KRW Sdn Bhd dan bukannya pihak saya," ujarnya.
#Bibi Ramjani Ilias Khan #Fazli Mohammad #KAFA #Kelantan Red Warriors #kontrak #KRW Sdn Bhd #MyInspiration Sdn Bhd #perjanjian #Persatuan Bolasepak Kelantan
;