Kriket: Malaysia berada di landasan yang tepat

Astro Arena
Oktober 6, 2016 17:31 MYT
Pasukan kriket negara memerlukan pendedahan lebih luas. - Foto Freeimages.com / Thad Zajdowicz
PRESIDEN Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahindra Vallipuram, menyifatkan skuad Malaysia kini berada di laluan tepat untuk bersaing dalam Kejohanan Piala Asia, Disember depan selepas melangkah ke final dalam Kelayakan Piala Dunia rantau Asia Divisyen Dua Bawah 19 tahun.
Pasukan bawah 19 tahun Malaysia berjaya menempah tiket beraksi dalam Kejohanan Piala Asia selepas melangkah ke final dalam saingan Kelayakan Piala Dunia rantau Asia berdepan Singapura.
Bagi Mahindra, aksi kesemua pemain tidak mengecewakan daripada awal perlawanan dan persatuan positif mereka mampu beraksi lebih cemerlang di pentas Piala Asia.
Meskipun menyedari negara lain lebih hebat seperti India dan Pakistan, mereka perlu bekerja keras untuk layak ke Piala Dunia nanti.
“Untuk bermain dalam Piala Asia dan Divisyen Satu, kami perlu mempertingkatkan mutu permainan dan perlu berdepan pasukan yang lebih kuat. Kami akan membuat pertukaran pada pendekatan kami menjelang Piala Asia pada Disember,” ujar Mahindra.
Pengurus pasukan, T. Senathiraj, pula mahu memanfaatkan masa dua bulan sebelum bermulanya Piala Asia dengan menjemput skuad dari luar negara untuk memberikan pendedahan lebih luas kepada pemain Malaysia di sini.
“Beberapa perkara harus dilakukan dan kami telah berbincang dengan persatuan untuk mendapatkan perlawanan dengan pasukan dari luar negara supaya memberikan pendedahan kepada pasukan Malaysia,” jelas Senathiraj.
#Kriket #Mahindra Vallipuram #pasukan kriket Malaysia #Piala Asia
;