KP MSN nafi dakwaan bersekongkol dengan Presiden MBM luluskan pencalonan KJ

Bernama
Jun 26, 2019 07:09 MYT
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail nafi dakwaan bersekongkol dengan Presiden MBM SM Nasiruddin SM Nasimuddin menjelang AGM MPM, Sabtu ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menafikan dakwaan bersekongkol dengan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), SM Nasiruddin SM Nasimuddin menjelang pemilihan mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM, Sabtu ini.
Dalam kenyataan media semalam, Ahmad Shapawi menjelaskan beliau tidak pernah terlibat dalam mengarahkan pegawainya untuk mengesahkan kelayakan pencalonan mantan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin untuk bertanding sebagai Presiden MPM seperti dilaporkan sebuah portal tempatan.
Ahmad Shapawi berkata beliau juga tidak pernah mencampuri urusan pemilihan AGM badan induk sukan para itu seperti yang dinyatakan dalam laporan bertarikh 25 Jun.
"Demi menjaga nama baik saya sebagai penjawat awam dan pihak MSN, saya akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang dan membuat laporan polis supaya siasatan boleh dijalankan.
"Saya menegaskan saya sentiasa mengamalkan sikap berkecuali dalam menjalankan tugas saya sebagai Ketua Pengarah MSN," katanya.
Khairy, yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia, bakal mencabar Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin merebut jawatan nombor satu persatuan pada 29 Jun ini.
Pencalonan Khairy sebelum ini dipertikai kerana beliau dikatakan hanya menghantar borang pencalonan selepas tamat tempoh yang sah bagi kerusi nombor satu MPM, apabila penyandangnya, SM Nasarudin tidak mahu mempertahankan jawatan itu.
Megat D Shahriman pada Sabtu lalu berkata campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) perlu sekiranya MPM tidak dapat menangani isu tersebut.
#Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudi #KBS #Khairy Jamaluddin #MPM #MSN #pemilihan #SM Nasiruddin #SM Nasiruddin SM Nasimuddin
;