Kovac kesal kesilapan Bayern selepas kekalahan mengejut
Astro Arena
Oktober 6, 2019 10:10 MYT
Oktober 6, 2019 10:10 MYT
NIKO Kovac menyifatkan sikap kurang keinginan daripada pemainnya sebagai punca yang membawa kepada kekalahan 2-1 di tangan Hoffenheim sambil mengakui juara Jerman itu melakukan terlalu banyak kesilapan.
Bayern tidak tewas dalam 20 perlawanan Bundesliga sebelum berdepan skuad kendalian Alfred Schreuder itu tetapi gagal meneruskan rentak permainan ketika membelasah Tottenham Hotspur 7-2, pertengahan minggu ini.
Penyerang Hoffenheim dari Armenia, Sargis Adamyan, melakukan penampilan pertama Bundesliga musim ini, diberikan peluang dari luar kotak penalti pada minit ke-54 dan meraih jaringan pertama buat kelab.
Robert Lewandowski menyamakan kedudukan 19 minit kemudian tetapi Adamyan sekali lagi membolosi gawang dan menamatkan penantian empat perlawanan tanpa menang, sebelum ini.
Kovac tidak menyembunyikan kekecewaannya dan berkata: "Malangnya, kami tidak dapat meneruskan kecemerlangan Selasa lalu pada hari ini (Sabtu) dan ia membuatkan saya kecewa.
"Babak pertama agak baik, kami mencipta beberapa situasi bagus tetapi pemain harus tunjukkan keinginan tinggi.
"Kami tidak beraksi baik dalam babak pertama, melakukan banyak kesilapan dan tidak memberikan tekanan buat lawan.
"Akhirnya, Hoffenheim sememangnya berhak meraih kemenangan."
Sementara itu, Schreuder memuji penampilan penuh pertama Adamyan dan gembira melihat perkembangan pemainnya selepas kemenangan kedua liga musim ini.
"Saya sangat berbangga dengan pasukan," katanya.
"Ia pertama kali Hoffenheim menang di sini.
"Pemain menunjukkan semangat dan keinginan yang tinggi. Saya gembira untuk menjadi pengurus kelab ini.
"Adamyan memerlukan sedikit masa bagi memastikan tempat dalam kesebelasan utama. Dia menerima kepercayaan daripada rakan sepasukan dan apa yang berlaku kepadanya, semestinya ia satu impian."
#Bayern Munich
#bola sepak
#Bundesliga
#Hoffenheim
#Jerman
#Niko Kovac
#pemain
#pengurus
#Sargis Adamyan