Koscielny menangis selepas kongsi cerita pertanyaan anaknya tentang prestasi buruk Arsenal
Israr Khalid
Mac 4, 2018 19:49 MYT
Mac 4, 2018 19:49 MYT
MUSIM ini nyata musim yang boleh disifatkan antara paling sukar buat seluruh warga kelab bola sepak Arsenal dan penyokongnya.
Kelab London itu gagal mempamer kemampuan sebenar mereka, meskipun dibarisi ramai pemain bertaraf bintang, sekali gus mewujudkan suasana kusut daripada persoalan yang timbul – bagaimana mereka boleh jadi begini?
Daripada sebuah kelab yang digeruni di England juga Eropah, kini seperti hilang taring dan kukunya apabila perlawanan demi perlawanan gagal meraih kemenangan, dengan terbaharu diratah enam gol tanpa berbalas oleh pendahulu Liga Perdana ketika ini, Manchester City dalam dua pertemuan tempoh seminggu bermula dengan aksi final Piala Carabao yang menyaksikan mereka dibelasah 3-0.
Kekalahan kedua pada Jumaat dalam saingan liga sekali gus menggesa para pemain mengadakan pertemuan untuk bersama membincangkan situasi kelab dan merencana sesuatu untuk terus melangkah ke hadapan, menurut laporan The Sun.
Dalam pertemuan tersebut, Laurent Koscielny dilaporkan menyampaikan ucapan kepada rakan sepasukannya, namun ia berakhir dengan tangisan pemain pertahanan dari Perancis itu.
Dia tidak dapat menahan air matanya apabila mula bercerita tentang bagaimana anaknya bertanyakan kepadanya mengapa Arsenal beraksi buruk ketika ini sebelum dicelah salah seorang rakan senior.
Siapakah yang harus dipersalahkan? Pemain, pengurusan tertinggi, atau pengendalinya, Arsene Wenger?
Tiada siapa dapat menyangkal rekod pengendali dari Perancis itu yang berjaya membawa anak buahnya menjulang kejuaraan liga tanpa kalah sepanjang musim 2003/2004, sekaligus digelar ‘The Invincibles’ dan masih lagi tidak mampu ditandingi mana-mana kelab Inggeris sehingga kini.
Wenger, 68, sudah lebih 20 tahun mengendali The Gunners dan menandatangai lanjutan kontrak sehingga 2020, namun kempen #WengerOut sudah semakin menular ke seluruh penyokong kelab itu, menggesa pengurusan tertinggi memecat individu yang pernah mereka gelar ‘Le Professeur’ itu.
Wenger kelihatan gagal menyerlahkan kembali keunggulannya walaupun sudah membuat pembelian sensasi Pierre Emerick-Aubameyang dari Borussia Dortmund dan pertukaran Henrikh Mkhitaryan dengan Alexis Sanchez, yang mungkin menyedari kemerosotan ini lebih awal dan bertindak berhijrah ke Manchester United sebelum lebih parah.
Beberapa pemain juga dilaporkan sudah tidak mahu lagi beraksi bersama Arsenal, antaranya Aaron Ramsey yang enggan menandatangani kontrak baharu sekiranya kelab gagal memenuhi permintaan peningkatan gajinya kepada 110,000 Pound Sterling seminggu, juga bintang Jerman, Mesut Ozil yang sudah lama dkaitkan dengan kelab lain.
Ramai pihak, banyaknya daripada mereka yang pernah bersama The Gunners, berpendapat bahawa sudah masanya Wenger mengundur diri.
Emannuel Petit, percaya Wenger sudah ‘letih’ dengan tekanan yang diberikan kepadanya dan perlu beralih angin, sementara bekas pengerusi Arsenal, Peter Hill-Wood, individu yang bertanggungjawab melantik Wenger sebagai pengurus kelab itu pada 1996, turut mengatakan bahawa Wenger sudah berada di situ terlalu lama.
The Gunners kini ketinggalan 10 mata daripada kelompok empat teratas, dan satu-satunya harapan untuk mereka kembali bersaing di pentas Liga Juara-Juara Eropah adalah dengan memenangi Liga Europa.
#Arsenal
#Arsene Wenger
#Laurent Koscielny
#Liga Europa
#Liga Juara-Juara Eropah
#Liga Perdana Inggeris
#menangis
#The Gunners
#WengerOut