Koronavirus: AFC tunda perlawanan Liga Juara-juara babitkan kelab dari China

Bernama
Februari 4, 2020 04:36 MYT
AFC telah memutuskan untuk menunda perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan kelab-kelab dari China. - EPA/SHAMSHAHRIN SHAMSUDI
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah memutuskan untuk menunda perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) membabitkan kelab-kelab dari China susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) selepas satu mesyuarat tergempar yang diadakan di ibu pejabatnya di sini pada Selasa.
Mesyuarat itu, yang dihadiri enam ahli persatuan yang terlibat dalam pertandingan kelab peringkat teratas di Asia, memutuskan untuk menunda tiga hari perlawanan pertama dalam pertandingan itu susulan sekatan perjalanan dan langkah keselamatan.
AFC berkata jika perlawanan yang dijadualkan untuk pasukan dari China boleh diadakan mengikut jadual, maka mereka akan meneruskannya seperti yang telah dirancang, termasuk hari kedua perlawanan antara Chiangrai United dan Beijing FC pada 18 Feb jika pasukan China itu, yang kini berada di kem di Korea Selatan, tidak tertakluk kepada langkah-langkah kuarantin.
Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor John dalam satu kenyataan menyebut Chiangrai United telah menegaskan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Thailand dan pegawai perubatan untuk memantau situasi semasa serta yang bergerak pantas.
AFC akan terus menilai dengan teliti impak penularan wabak itu, namun mencadangkan agar perlawanan yang ditunda membabitkan kelab-kelab dari China akan dijadualkan semula pada April dan Mei manakala Pusingan Zon Timur 16 perlawanan dicadangkan berlangsung pada 16 dan 17 Jun dengan aksi timbal balik pada 23 dan 24 Jun.
Bagaimanapun, wakil terbabit bersetuju bahawa satu tarikh akhir untuk menilai situasi terkini akan ditetapkan 21 hari sebelum setiap perlawanan dan jika diputuskan bahawa perlawanan tidak dapat diteruskan seperti yang dicadangkan, kelab tuan rumah hendaklah mencalonkan satu venue yang neutral sekurang-kurangnya 14 hari sebelum hari perlawanan.
"Kita bersama-sama menempuh keadaan yang sukar ini untuk mencari penyelesaian bagi membolehkan kita bermain bola sepak sambil memastikan bahawa kita melindungi keselamatan dan sekuriti semua pemain, pegawai, pihak berkepentingan serta peminat.
"Kami juga menerima hakikat bahawa isu koronavirus ini adalah isu yang lebih besar berbanding sekadar perlawanan bola sepak dan kami berharap mereka yang terjejas akan cepat sembuh," kata Windsor.
Pada 29 Jan, AFC telah meminda jadual perlawanan asal bagi membolehkan empat kelab China yang terlibat dalam kejohanan beraksi dalam tiga perlawanan pertama di tempat lawan, namun terpaksa menunda perlawanan tersebut susulan sekatan perjalanan dari beberapa kerajaan termasuk Australia, yang menyebabkan kelab-kelab China tidak mungkin dapat melakukan perjalanan untuk beraksi dalam perlawanan yang telah disusun semula itu.
Perlawanan antara juara enam kali Liga Super iaitu Johor Darul Ta'zim, satu-satunya wakil Malaysia dalam kejohanan itu, menentang Guangzhou Evergrande FC pada 19 Feb telah ditunda kepada 20 Mei, namun masih menunggu pengesahan pada 11 Feb.
Harimau Selatan dijangka memulakan kempen mereka terhadap pasukan Jepun, Vissel Kobe dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G di Stadium Misaki Park, Kobe pada 12 Feb sebelum menjadi tuan rumah kepada Guangzhou Evergrande FC.
-- BERNAMA
#2019-nCoV #ACL #afc #kelab China #koronavirus #langkah keselamatan #Liga Juara-Juara Asia #sekatan perjalanan #tunda perlawanan
;