Korea benam Malaysia 3-0 pada aksi pembukaan Sukan Asia 2014

Bernama
September 15, 2014 05:26 MYT
Korea benam Malaysia 3-0 pada aksi pembukaan Sukan Asia 2014.
Malaysia nyata bukan tandingan Korea Selatan selepas kalah 0-3 pada aksi pembukaan kumpulan A acara bola sepak Sukan Asia 2014 di Stadium Munhak, Incheon, Korea Selatan, semalam.
Pada aksi yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar itu, Korea Selatan menguasai sebahagian besar perlawanan menerusi rentak serangan pantas ke kubu skuad Harimau Muda A (Bawah 23).
Pemain pertahanan, Rim Chang-woo meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-26 menerusi tandukan kencang hasil sepakan penjuru daripada rakan sepasukan dan keputusan itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama perlawanan.
Penyerang, Ahmad Hazwan Bakri hampir menjaringkan gol penyamaan untuk skuad B-23 negara kendalian Datuk Ong Kim Swee beberapa minit kemudian, namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Korea Selatan, Kim Seung-gyu.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah terus 'bernafsu' bagi menggandakan jaringan dan berjaya menembusi pintu gol Malaysia buat kali kedua, hasil jaringan Kim Shin-wook pada minit ke-78.
Kim Seung-dae memastikan kemenangan mutlak Korea Selatan menerusi gerakan solo dengan berjaya menewaskan penjaga gol skuad negara, Mohd Izham Tarmizi Roslan, tiga minit kemudian.
Dalam satu lagi perlawanan kumpulan sama, Arab saudi mengalahkan Laos 3-0.
Malaysia akan berdepan Laos manakala Korea Selatan akan menentang Arab Saudi pada aksi kedua kumpulan, Rabu ini dan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Ansan Wa.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan skuad B-23 mara sehingga ke peringkat suku akhir.
Berdasarkan format temasya, sejumlah 32 pasukan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan mara ke pusingan kedua (16 terbaik).
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia adalah memenangi pingat gangsa sebanyak dua kali iaitu pada edisi 1962 di Jakarta, Indonesia dan 1974 di Tehran, Iran.
#bosa sepak #Incheon #Malaysia #Sukan Asia