Kontroversi Ziyad, satu pengajaran yang mahal harganya - CDM

Bernama
September 5, 2021 21:57 MYT
Megat D Shahriman mengingatkan pegawai-pegawai agar kesilapan yang sama tidak diulangi pada masa depan. - Gambar fail/Bernama
TOKYO: Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin menyifatkan kontroversi membabitkan jaguh lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini, satu pengajaran yang mahal harganya dan tidak boleh dilupakan buat kontinjen Malaysia.
Beliau mengakui kesilapan seumpama itu tidak dapat dielak oleh mana-mana negara sekalipun termasuk Malaysia semasa sukan atau kejohanan besar, namun beliau mengingatkan pegawai-pegawai agar kesilapan yang sama tidak diulangi pada masa depan.
"Kesilapan adalah sebahagian daripada asam garam dalam sukan. Sudah tentu ini satu pengajaran yag besar buat Malaysia terutama bagi jurulatih untuk lebih bersedia pada masa hadapan.
"Saya percaya mereka perlu memperbaiki dan menyusun semula tentang bagaimana mereka akan mengendalikan sesi panas badan atau latihan sebelum hari pertandingan agar tidak melakukan kesilapan yang sama," katanya pada sidang media secara maya hari ini.
BACA: CDM sangkal dakwaan Muhammad Ziyad lewat 28 minit
BACA: Ziyad terlepas emas: 'Bukan masanya tuding jari kepada mana-mana pihak' - CDM
BACA: CDM Malaysia mohon maaf kepada Ukraine
Selasa lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas dalam acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang sepatutnya merupakan rekod baharu dunia.
Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum acara berlangsung.
Kontroversi yang melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dicipta di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Sementara itu, Megat D Shahriman, yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) berkata protes dan rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Olahraga Para Dunia (WPA) akan diteruskan sebaik temasya Paralimpik Tokyo berakhir, meskipun selepas mengadakan pertemuan dengan CDM Ukraine Olena Zaitseva di sini semalam.
Ditanya sama ada mereka akan membangkitkan isu Muhammad Ziyad ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika rayuan dibuat kepada IPC ditolak, Megad D Shahriman berkata beliau perlu mendapatkan khidmat seorang peguam terlebih dahulu sebelum mengambil langkah seterusnya.
Sehubungan itu, beliau mengulangi bahawa itulah sebabnya mengapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik panggilan dan kawasan menunggu di Stadium Olimpik Tokyo sangat penting sebagai bukti insiden itu bagi meneruskan tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA
#Megat D Shahriman Zaharuddin #Paralimpik #Tokyo #Muhammad Ziyad Zolkefli #CDM #Paralimpik Tokyo 2020 #lontar peluru
;