Kontrak ragbi Sonny Bill Williams termahal - RM28 juta untuk 24 bulan
Razak Chik
November 11, 2019 23:51 MYT
November 11, 2019 23:51 MYT
TIDAK sampai sebulan berakhirnya kejohanan Ragbi Piala Dunia 2019 di Yokohama Jepun, pemain All-Blacks Sonny Bill Williams berhijrah ke Kelab Toronto Wolfpack di Kanada untuk bertukar 'kod permainan' dari ragbi (Rugby Union) ke gelanggang 'ragbi-yang-satu-lagi' – lebih tepat; 'Rugby League'.
Williams, 34, ditawar kontrak bernilai AUS$10 juta untuk dua tahun yang merupakan ikatan termahal dalam sukan ragbi – sama ada 'union' mahupun 'league'.
Kelab Toronto Wolfpack merupakan kelab 'Rugby League' pertama yang berpangkalan di Kanada tetapi bermain dalam pertandingan Super League (pertandingan bagi kelab 'Rugby League' antarabangsa peringkat tertinggi).
Kesemua pasukan kecuali Toronto Wolfpack bermain di laman sendiri di benua Eropah.
Bagi pemain ragbi; berpindah dari Union ke League dan sebaliknya bukan satu kejanggalan kerana undang-undang dan cara permainan hampir sama. Williams sendiri sudah beberapa kali melakukan 'penghijrahan permainan' (lazimnya disebut 'code-switching'). Kali ini, nilai kontrak yang agak menakjubkan menjadikan penghijrahan ini perbualan hangat.
Williams sendiri merupakan individu yang berjaya menarik perhatian kawan mahupun lawan sama ada dalam atau luar padang.
Beliau berjinak-jinak dengan Islam bermula dengan keakraban dengan masyarakat Afrika-Arab-Muslim di Perancis. Dari situ Williams tertarik dan terus meninggalkan agama asalnya – Kristian, memeluk Islam bersama adiknya dan seterusnya, ibu kandungnya.
Williams juga banyak menjadi rujukan kerajaan New Zealand termasuk Perdana Menterinya Jacinda Ardern dalam usaha meredakan ketegangan akibat serangan bersenjata terhadap pengunjung masjid di Christchurch yang mengorbankan banyak nyawa pada tahun lepas.
Beliau kini ikon kalangan remaja Islam satu dunia kerana sikapnya dan kelakuannya yang sentiasa mencerminkan ciri ciri keislaman. Apabila menerima sesuatu pujian atau kemenangan, mulut Williams tidak lekang mengucapkan 'Alhamdullillah'.
Peminat ragbi – sama ada 'league', mahupun 'union' sudah tentu akan menumpu perhatian kepada perlawanan Super League apabila musim baharu bermula pada hujung Januari 2020.
Adakah Toronto, dengan kehadiran bekas pemain 'kod union' di Yokohama pada Oktober lalu, akan hadir, dan muncul sebagai juara? Kita nanti kesudahannya.
#all blacks
#Christchurch
#Islam
#Ragbi
#rugby league
#rugby union
#sonny bill williams
#toronto wolfpack