Kontrak Brooker tidak dilanjutkan

Astro Arena
September 15, 2021 07:31 MYT
Status Christian Brooker (kiri) menjadi tanda tanya selepas gagal mencapai sasaran pingat Sukan Olimpik Tokyo. - Gambar fail/Foto Astro ARENA
MALAYSIA Swimming menganggap tindakan tidak menyambung kontrak jurulatih terjun, Christian Brooker sebagai 'keputusan profesional' berdasarkan prestasi skuad kebangsaan dalam Sukan Olimpik Tokyo.
Malah, Pengerusi Jawatankuasa Terjun Malaysia Swimming, Andy Low, memaklumkan wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, bahawa ada cadangan untuk kembali mendapatkan khidmat jurulatih China sebagai pengganti.
Brooker mengambil keputusan untuk menghabiskan baki cuti sebelum tamat kontrak, 30 September ini.
Ia menguatkan spekulasi jurulatih kelahiran Australia itu bakal meninggalkan Malaysia selepas menyertai skuad negara pada Disember 2017.
Malaysia Swimming sepatutnya mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Isnin lalu namun ditunda ke satu tarikh yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Apa yang pasti, Brooker seakan sudah mengetahui kontraknya tidak akan disambung.
"Kontrak Brooker berakhir penghujung bulan September. Kami tidak menyingkirkan dia tetapi kontraknya tidak dilanjutkan. Kami akan kembali mengambil pendekatan China selepas ini bagi mendapatkan semula keputusan yang positif," kata Andy Low.
Status jurulatih terjun negara menjadi tanda tanya selepas gagal mencapai sasaran pingat Sukan Olimpik Tokyo.
Sukan Terjun | Apa status tiga jurulatih terjun?
Ia turut membabitkan Yang Zhuliang apabila penerjun, Cheong Jun Hoong, gagal ke final 10 meter individu platform Sukan Olimpik Tokyo.
Bagaimanapun, nasib seorang lagi jurulatih, Li Rui dilihat baik kerana baru menyertai skuad negara pada 2018.
Keputusan tidak menyambung kontrak Brooker lebih terasa buat skuad penerjun lelaki yang berada di bawah kendaliannya.
Tampil menawarkan pandangan, Chew Yiwei yang turut menzahirkan penghargaan kepada Brooker di laman instagramnya semalam.
Bagi Yiwei, pendekatan Brooker melatih dia dan rakan sepasukan meninggalkan kesan mendalam.
Tetapi siapa sahaja pengganti Brooker, Yiwei dan seorang lagi penerjun senior, Ooi Tze Liang, akan cuba bangkit daripada duka 2021 dalam Sukan Komanwel dan Asia 2022.
#Malaysia Swimming #keputusan profesional #tidak sambung kontrak #jurulatih terjun #christian brooker
;