Kontrak baru Cheng Hoe hampir muktamad, kata FAM
Astro Arena
Ogos 13, 2020 22:28 MYT
Ogos 13, 2020 22:28 MYT
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, akan menandatangani kontrak baru bersama badan induk itu susulan penangguhan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, mengakui perbincangan di antara kedua-dua pihak adalah positif dan perkara itu dinyatakan kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, hari ini.
Kedudukan pengendali dari Kedah itu menjadi tanda tanya apabila kontraknya berakhir 31 Disember ini tatkala tiga aksi Kumpulan G terakhir melibatkan Malaysia terpaksa ditunda ke tahun depan.
Jurulatih berusia 52 tahun itu sememangnya memerlukan kepastian mengenai masa depannya kerana misi penting perlu dilunaskan bersama skuad kebangsaan.
"Perbincangan (melibatkan kontrak) Cheng Hoe sudah pun bermula biarpun perlawanan kelayakan tertangguh.
"Kami akan selesaikan perbincangan itu tidak lama lagi dan kami akan umumkan pada masa tertentu.
"Tiada perubahan dalam perancangan FAM. Sudah pasti dia masih relevan," katanya di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.
Terdahulu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sekali lagi menangguhkan kelayakan itu selepas mengambil kira perkembangan semasa yang membabitkan penularan COVID-19 di seluruh dunia.
Sebelum ini, FIFA memutuskan aksi kelayakan pusingan kedua itu akan berlangsung pada Oktober dan November depan susulan penularan pandemik berkenaan.
Justeru, Cheng Hoe berharap kesempatan itu boleh digunakan untuk memantapkan Harimau Malaya.
"Kami perlu berbincang lagi, kami perlu ada perancangan kerana skuad kebangsaan akan mengharungi jadual padat manakala pemain perlu bersedia," katanya.
#FAM
#harimau Malaya
#kelayakan Piala Dunia
#pengendali Harimau Malaya
#Persatuan Bolasepak Malaysia
#Piala Asia
#Setiausaha Agung FAM
#stuart ramalingam
#Tan Cheng Hoe