Kontinjen Sukan Asia dinasihat kurangkan penggunaan media sosial, jaga kesihatan mental
Bernama
September 7, 2023 06:18 MYT
September 7, 2023 06:18 MYT
KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 dinasihatkan supaya mengurangkan penggunaan media sosial untuk menjaga kesihatan mental dan bagi memastikan mereka terus fokus kepada temasya sukan itu.
Ketua Kontinjen Datuk Chong Kim Fatt berkata, menjelang dua minggu terakhir sebelum temasya berkenaan membuka tirai, para atlet harus fokus sepenuhnya dalam latihan dan bagaimana untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka.
Beliau berkata, penggunaan media sosial secara berlebihan boleh menjejaskan tumpuan atlet, selain mampu membawa kesan kepada kesihatan mental jika mereka tidak dapat mengurus kritikan negatif atau pujian berlebihan daripada netizen.
"Untuk atlet, kita nak sampaikan semangat untuk berjuang berhabis-habisan demi negara, dapatkan emas. Jangan pergi berkata 'saya akan cuba terbaik, tengok macam mana,' bersedia untuk lawan habis-habisan, jangan lalai dengan telefon bimbit.
Matlamat utama adalah untuk menang pingat di gelanggang (bukan untuk meningkatkan pengikut di media sosial). Kita (sekretariat) akan uruskan semua masalah yang timbul sebelum pertandingan, selepas masuk gelanggang, ia menjadi tanggungjawab atlet untuk menentukan keputusan," katanya selepas meninjau latihan skuad gimnastik artistik dan gimrama di sini, semalam.
Sementara itu, Kim Fatt berkata kontinjen negara sudah 99 peratus bersedia untuk menghadapi temasya kedua terbesar dunia itu yang bermula dari 23 Sept hingga 8 Okt ini.
Beliau berkata kriket bakal menjadi pasukan pertama untuk berlepas ke Hangzhou pada 17 Sept, memandangkan acara itu bermula 19 Sept.
Dari segi penganjuran, beliau berkata kemudahan penginapan berada pada tahap terbaik, manakala makanan halal juga disediakan di Perkampungan Sukan sepanjang masa.
"Kerajaan China bukan hanya mahu menganjurkan temasya, tetapi turut mahu menunjukkan kepada dunia tentang pembangunan dan kemajuan pesat negara itu," katanya.
-- BERNAMA