Kontinjen Para sedia jadi penyelamat di Kemboja - MPM
Bernama
Mei 23, 2023 16:49 MYT
Mei 23, 2023 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja awal bulan depan, sudah bersedia untuk mempamerkan prestasi cemerlang demi mengubati kekecewaan peminat sukan tanah air.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata selepas pencapaian menyedihkan kem negara pada Sukan SEA ke-32 di Phnom Penh baru-baru ini, tanggungjawab membawa kejayaan kini harus dipikul oleh kira-kira 140 atlet para kebangsaan.
"Saya percaya dengan pasukan yang sama ketika (edisi) di Solo, Indonesia (tahun lepas), dan penambahan atlet baharu, kami tidak akan mengecewakan negara, kami akan lakukan yang terbaik. Ia bukannya beban, saya rasa itu tanggungjawab kita untuk negara selepas apa yang terjadi pada Sukan SEA.
"Namun, jika apa-apa terjadi menyebabkan tidak dapat keputusan diinginkan... kita hanya merancang Tuhan yang menentukan, kita akan bertanggungjawab sepenuhnya.
"Kita tiada masalah dan tidak akan menuding jari kepada sesiapa, kita akan memastikan kelemahan kita diperbaiki," katanya kepada Bernama.
Pada APG 2022 yang berlangsung di Solo, kontinjen Malaysia yang hanya diwakili kira-kira 70 atlet beraksi cemerlang untuk membawa pulang 36 pingat emas, 20 perak dan 13 gangsa.
Pada Sukan SEA Kemboja yang berlangsung dari 5 hingga 17 Mei lepas, Malaysia yang diwakili lebih 600 atlet menduduki tempat ketujuh selepas mengutip 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa.
Ia merupakan pencapaian terburuk kontinjen negara dalam sejarah temasya dwitahunan itu sejak 1959, selain gagal mencapai sasaran 40 emas, 37 perak dan 64 gangsa yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Megat D. Shahriman berkata pemberian peruntukan daripada kerajaan kepada persatuan sukan seharusnya berdasarkan merit dan pencapaian, bukannya berdasarkan populariti sukan berkenaan sahaja.
"Bila peruntukan itu lebih kepada sukan yang tidak membawa kejayaan, tapi sukan yang membuahkan kejayaan tidak dapat bantuan sewajarnya, boleh menimbulkan diskriminasi dan pilih kasih.
"Kerajaan perlu lihat sukan apa yang boleh membawa kejayaan, jadi bajet bagi sukan itu harus dikembangkan supaya dapat mengharumkan nama negara.
"Perlu ikut seperti di negara barat, berdasarkan merit, jika anda mencapai kejayaan, anda mendapat (peruntukan), jika anda tidak mencapai kejayaan, anda perlu menanti sehingga anda berjaya," katanya.
-- BERNAMA