Kontinjen Malaysia lega sasaran 40 pingat emas tercapai

Bernama
Disember 21, 2014 19:26 MYT
Atlet Badminton negara Iskandar Zulkanain bersama pingat emas yang dimenanginya selepas majlis penyampaian hadiah acara perseorangan lelaki. - Foto BERNAMA
Kontinjen Malaysia boleh menarik nafas lega apabila berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas pada temasya Sukan Universiti Asean (AUG) ke-17 yang melabuhkan tirai hari ini.
Sasaran itu dicapai hasil kejayaan skuad badminton menyumbang dua pingat emas hari ini menerusi pemain perseorangan lelaki, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan beregu campuran, Mohd Lutfi Zaim Abd Khalid-Chow Mei Kuan.
Ketua Kontinjen Malaysia Datuk Prof Dr Abdullah Mohd Said berkata walaupun gagal mempertahankan kejuaraan, beliau berpuas hati dengan pencapaian atlet negara yang meraih 40 pingat emas, 43 perak dan 49 gangsa.
Namun, katanya secara peribadi beliau masih tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa jenis sukan yang merupakan prospek emas negara pada temasya dwitahunan itu seperti sepak takraw, taekwondo dan silat.
"Saya gembira kontinjen Malaysia berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas tetapi masih banyak yang perlu dipertingkatkan.
"Terdapat sukan yang kita sasarkan pingat emas tetapi gagal. Kita bernasib baik, sukan yang tidak diletakkan sasaran, menyumbang pingat emas kepada negara," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata antara sukan yang menjadi 'penyelamat' kontinjen negara ialah badminton yang melepasi sasaran dengan meraih dengan dua pingat emas manakala lawan pedang, tenis dan ping pong masing-masing menyumbang satu emas.
Walaupun skuad akuatik gagal mengulangi pencapaian cemerlang pada edisi dua tahun lepas di Laos dengan 25 pingat emas, perenang negara muncul penyumbang pingat emas terbanyak kepada Malaysia apabila memenangi 14 emas termasuk tiga emas dalam acara terjun pada temasya kali ini.
Pada temasya AUG 2014, Malaysia menghantar 322 atlet untuk menyertai kesemua 20 acara yang dipertandingkan.
#40 pingat emas #AUG #Berjaya #kontinjen #Malaysia #mencapai #nafas lega #sasaran
;