Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia bukan untuk bercuti
Bernama
September 21, 2023 13:32 MYT
September 21, 2023 13:32 MYT
KUALA LUMPUR: Meskipun tidak disandarkan untuk memungut sebarang pingat emas, namun kontinjen negara yang akan beraksi di Sukan Asia Hangzhou 2022 diingatkan supaya tidak bersikap sambil lewa dan perlu berusaha keras untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa itu.
Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Wira Nur Azmi Ahmad berkata temasya empat tahun sekali itu, yang akan membuka tirainya pada Sabtu ini, bukannya tempat untuk bersuka ria dan bercuti, sebaliknya atlet Malaysia yang terpilih perlu menampilkan prestasi cemerlang.
"Atlet negara dilihat cukup bersemangat walaupun tiada sasaran pingat secara khusus, namun mereka tidak akan menghampakan rakyat Malaysia. Saya ingin ulang kembali ada yang mengatakan atlet pergi 'holiday' setiap kali pergi ke kejohanan, namun mereka ada sasaran setiap kali mewakili negara.
"Atlet atau pegawai sukan pasti akan hadirkan pingat untuk negara dan mereka ada sasaran masing-masing," katanya ketika ditemui selepas majlis pelepasan kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022 di Majlis Sukan Negara (MSN) 2022, di sini hari ini.
Terdahulu Nur Azmi melepaskan 89 atlet daripada sukan renang, hoki, sepak takraw, e-sukan, ragbi, menembak dan taekwondo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Hangzhou petang ini.
Bagi temasya kali ini, kontinjen Malaysia tidak diletakkan sebarang sasaran pingat secara spesifik sebaliknya menyasarkan 27 pingat tanpa mengira warna secara keseluruhan.
-- BERNAMA