Konsep Suzuki iK-2 akan muncul di Frankfurt dengan nama Baleno

Astro Publication
September 2, 2015 18:00 MYT
Suzuki akan membuat penampilan pertama bagi model terbaharu keluaran mereka – Baleno, sebuah hatchback kompak yang pertama kali dilihat sebagai konsep iK-2 ketika pameran kereta Geneva Mac lalu. Di pameran kereta Frankfurt akan datang, model ini akan dipersembahkan sebagai Suzuki Baleno.
Antara keunikan Baleno ini adalah ianya akan dipasang dengan pelbagai inovasi Suzuki terkini seperti enjin 1.0-liter dengan teknologi ‘Boosterjet’ (pancitan terus, turbo) dan SHVS (Smart Hybrid vehicle by Suzuki) iaitu bantuan kepada enjin daripada motor elektrik. Tugasnya adalah untuk meningkatkan kecekapan.
Baleno ini dijangka akan dijual bermula di Eropah pada musim luruh akan datang.
Ketika ditampilkan sebagai konsep iK-2, Suzuki menerangkan hatchback ini sebagai direka dengan inspirasi ‘Harmonised Force’. Dengan ini, kepakaran menghasilkan kereta kecil Suzuki digabung dengan pemanduan nyaman, teknologi terbaharu dan rekaan luar yang kemas menghasilkan bentuk ideal kereta kecil.
Lampu utama LED juga disebut, begitu juga dengan platform baharu yang lebih ringan namun tetap kukuh. Ia bukan sahaja lebih selamat, tetapi juga membantu memberi kecekapan penggunaan bahan api, tingkatkan pengendalian, stabiliti dan tahap NVH (noise, vibration, harshness) yang lebih rendah.
Wheelbase konsep iK-2 adalah sepanjang 2,520mm, iaitu lebih pendek daripada wheelbase S-Cross (2,600mm). Panjang keseluruhan S-Cross pula adalah 4,300mm, manakala iK-2 pula adalah sekadar 4,023mm.
Jika ukuran-ukuran ini kekal pada Suzuki Baleno yang akan tiba di Frankfurt nanti, pastinya ia adalah sebuah hatchback yang kompak, tetapi menerapkan teknologi yang lebih relevan dengan kehendak pembeli zaman ini.
Suzuki Baleno ini akan muncul di pameran kereta Frankfurt pada 15 September.
# Baleno # Frankfurt #Suzuki
;