Konsep 'financial fair play' penting dalam bola sepak - TMJ

Kohilah Sekaran
Ogos 11, 2015 12:00 MYT
TUNKU ISMAIL: Sesebuah kelab bola sepak harus berbelanja mengikut kemampuannya, tidak terlalu berhutang, sehingga menyebabkan kelab tersebut muflis.
Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyuarakan kepentingan peraturan Financial Fair Play (pengurusan kewangan yang adil atau FFP) dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (PBSM).
Menerusi satu kenyataan media di laman Facebook rasminya, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) itu menyatakan bahawa FFP merupakan suatu konsep yang patut diperhalusi kerana peraturan tersebut secara prinsipnya memastikan kemampuan perbelanjaan sesebuah kelab ataupun persatuan.
"Secara prinsipnya, ianya memastikan bahawa sesebuah kelab bola sepak itu berbelanja mengikut kemampuannya, tidak terlalu berhutang, sehingga menyebabkan kelab tersebut muflis," kata Tunku Ismail yang dikenali sebagai TMJ.
Malah, menurut Baginda, dengan implementasi peraturan kewangan tersebut, ia akan menjadi keutamaan bagi mana-mana organisasi untuk memastikan kewangan mereka diurus dengan baik bagi membolehkan pasukan tersebut beroperasi dalam jangka masa panjang.
Difahamkan, bagi PBNJ, peraturan FFP meliputi tanggungjawab membayar gaji pemain dan staf sokongan mengikut jadual, membayar pemain berbakat dengan setimpal, menyalurkan dana kepada pembangunan bolasepak, baik dari segi pembangunan infrastruktur berkaitan bola sepak, projek pembangunan akar umbi, menghargai para penyokong dan juga tanggungjawab sosial.
"Kami juga sering bersuara kepada badan induk pentadbir demi memperjuangkan hak-hak kewangan ahli gabungan, walaupun tanpa sokongan daripada ahli-ahli gabungan itu sendiri.
"Cuba kita jujur dengan diri sendiri; adakah kita serius untuk memartabatkan bola sepak negara, atau kita lebih berminat untuk menjatuhkan antara satu sama lain?" soal TMJ melalui kenyataan tersebut.
Putera Johor itu juga menekankan bahawa mana-mana kelab atau persatuan akan menghadapi masalah kewangan sekiranya tidak diuruskan dengan baik, walaupun betapa pemurah sekalipun penaja dan penderma, atau betapa tebalnya poket penaung mereka.
"Kita boleh mengubah kuasa pasaran untuk jangka masa pendek, tetapi tidak untuk selamanya. Kita menyokong FFP kerana kita mahu beroperasi dalam jangka masa panjang," sambung TMJ.
Baginda juga menegaskan FFP tidak sepatutnya mengehadkan gaji pemain ataupun mempunyai satu belanjawan tetap yang semuanya dikawal oleh badan pentadbir.
Hal ini kerana, konsep sebegitu lebih tepat dipanggil sebagai komunisme bola sepak dan bukan pengurusan kewangan yang adil.
Baginda turut menyatakan masalah yang sering dialami oleh sesebuah dengan implementasi model FFP yang salah.
Kenyataan TMJ yang dimuat naik di Facebook JOHOR Southern Tigers
Menurutnya, peraturan FFP yang berkonsep komunisme tidak akan memupuk inovasi dan pencungkilan bakat pemain tanah air.
"Buat apa sesebuah kelab atau persatuan berusaha membangunkan bakat pemain jika mereka sentiasa dijerat dari segi kewangan?"
"Buat apa pemain hendak bermain bermati-matian, berusaha mengangkat tahap permainan mereka ke suatu tahap yang lebih tinggi, hanya untuk melihat gaji mereka dihadkan kepada, katakanlah, RM10,000 sahaja?
"Jika pemain tidak diberi insentif untuk kecemerlangan mereka, sudah tentu mereka akan berhijrah ke liga lain yang akan menilai bakat mereka dengan setimpal," kata TMJ, yang menambah sistem seperti ini hanya akan menggalakkan pemain meninggalkan bola sepak tanah air.
#bola sepak #Financial Fair Play #Johor #TMJ #Tunku Ismail
;