Kongres Khas 29 Dis tentukan nasib KAFA

Muhafandi Muhamad
Disember 15, 2016 23:00 MYT
Menurut Afandi, sumber kewangan KAFA hanya berbaki antara RM700,000 sehingga RM800,000 sahaja. - Foto Astro AWANI / Muhafandi Muhamad
Teka teki sama ada pasukan bola sepak Kelantan bakal menyertai saingan bola sepak musim depan atau tidak akan hanya dapat diketahui pada Kongres Khas Kesatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 29 Disember ini.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas badan induk bola sepak negeri itu yang berlangsung malam ini.
Menurut Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, mesyuarat turut merumuskan yang KAFA masih kekurangan dana untuk menyertai saingan liga musim depan.
Katanya pada masa ini sumber kewangan KAFA hanya berbaki antara RM700,000 sehingga RM800,000 sahaja.
Namun tegasnya usaha akan dilakukan bagi mendapatkan tajaan.
Secara asasnya, skuad Kijang memerlukan RM700,000 setiap bulan untuk bayaran gaji pemain.
Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail sebelum ini berkata KAFA memerlukan RM15 juta untuk membolehkan pasukan itu kekal kompetitif dan kekal bersaing Liga M musim depan.
Namun persatuan itu terus bergelut mencari sumber kewangan selepas Tan Sri Annuar Musa melepaskan jawatan presiden pada awal bulan lalu.
#Afandi Hamzah #Datuk Seri Vida #KAFA #Kesatuan Bola Sepak Kelantan
;