Kongres FAM: Subahan tidak pertahan jawatan, Afandi intai peluang kembali

Bernama
Februari 27, 2021 15:51 MYT
Datuk Seri Subahan Kamal sah tidak mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Subahan Kamal sah tidak mempertahankan jawatannya menjelang pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Kongres FAM kali ke-57 yang akan berlangsung pada 13 Mac depan.
Berdasarkan senarai 27 calon layak bertanding dalam pemilihan bagi penggal 2021-2025 dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan FAM hari ini, hanya nama Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram menjadi calon bagi mengisi dua jawatan Timbalan Presiden.
Perebutan empat kerusi naib presiden pula menyaksikan bekas Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah mengintai peluang kembali bersama badan induk bola sepak negara itu selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam pemilihan kongres kali ke-53 pada 2017.
Beliau yang turut pernah memangku jawatan presiden FAM antara lima calon bertanding bagi kerusi itu selain Datuk Rosmadi Ismail, Datuk Posa Majais, Mohd Joehari Mohd Ayub dan Mohd Firdaus Mohamed.
Pada masa sama, persaingan sengit dijangka berlaku dalam perebutan kerusi ahli jawatankuasa eksekutif apabila keenam-enam penyandang sebelum ini bakal dicabar 11 muka baharu bagi mengisi keseluruhan lapan kerusi yang dipertandingkan.
Dalam kalangan 11 muka baharu itu, ada individu yang pernah dan sedang memegang jawatan penting dalam persatuan bola sepak (FA) negeri.
Antaranya bekas timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) Datuk Adly Shah Ahmad Tah, pemangku presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Datuk Shaari Mat Hussain dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Sementara itu, Datuk Hamidin Mohd Amin dijangka menang tanpa bertanding jawatan presiden FAM penggal 2021-2025 selepas muncul calon tunggal sementara Datuk Suraya Yaacob dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah pula tidak dicabar bagi mengisi dua jawatan sebagai ahli jawatankuasa eksekutif wanita.
"Selepas tarikh akhir untuk calon-calon berkenaan mengembalikan Borang Pengesahan Penerimaan Pencalonan tersebut pada 5.30 petang semalam, 27 calon telah menyatakan penerimaan mereka untuk dicalonkan bagi jawatan yang dinyatakan dan satu telah menolak pencalonan beliau.
"Pada masa sama, proses saringan integriti dilakukan Unit Integriti FAM membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta semakan status kebankrapan dengan Jabatan Insolvensi Malaysia mendapati kesemua 27 calon lulus saringan itu," menurut Jawatankuasa Pemilihan FAM dalam kenyataan hari ini.
Berikut merupakan senarai calon bagi pemilihan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk penggal 2021-2025:
PRESIDEN:
  1. Datuk Hamidin Mohd Amin
TIMBALAN PRESIDEN:
  1. Datuk Mohd Yusoff Mahadi
  • Datuk S.Sivasundaram
  • NAIB PRESIDEN:
    1. Datuk Rosmadi Ismail
  • Datuk Posa Majais
  • Mohd Joehari Mohd Ayub
  • Mohd Firdaus Mohamed
  • Datuk Seri Afandi Hamzah
  • AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF:
    1. Datuk Mohd Hisamudin Yahaya
  • Datuk Jefferey Low Han Chau
  • Christopher Raj Aralanthu
  • Datuk Seri Shahril Mokhtar
  • ACP (B) Md Dali Wahid
  • Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar
  • Datuk Aminuddin Omar
  • N. Saaran
  • Datuk Adly Shah Ahmad Tah
  • Datuk Shaari Mat Hussain
  • Abdul Aziz Yeop Jamaludin
  • ACP Zulkefly Yahya
  • Syed Yazid Syed Omar
  • Datuk Muhammad Yadzan Mohammad
  • Mohd Firdaus Ahmad
  • Mohd Yusuri Yusof
  • Datuk Kamarudin Hassan
  • AHLI JAWATANKUASA EKSEKUTIF WANITA:
    1. Datuk Suraya Yaacob
  • Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah
  • -- BERNAMA
    #kongres FAM #FAM #Persatuan Bola Sepak Malaysia #Subahan Kamal #pertahan jawatan #jawatankuasa eksekutif FAM #Mohd Yusoff Mahadi #s sivasundram #Afandi Hamzah
    ;