Konflik Zii Jia-BAM: Jangan main tuding jari - Faizal Azumu

Amirrul Rabbani
Januari 22, 2022 16:01 MYT
Pada Jumaat, BAM memutuskan Zii Jia tidak akan didaftarkan persatuan berkenaan bagi mana-mana kejohanan antarabangsa melibatkan negara selama dua tahun bermula 18 Januari 2022. - Gambar fail/BAM
IPOH: Semua pihak diminta untuk tidak menuding jari dengan menyalahkan sesiapa berhubung kemelut yang melanda antara pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pihaknya kini sedang giat berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan dengan meletakkan kepentingan negara sebagai agenda utama.
Tegasnya semua pihak juga tidak perlu berfikiran negatif dikala pihaknya sedang mencari jalan penyelesaian terbaik berkenaan kemelut itu.
“Saya telah katakan semalam bahawa kita perlu mengutamakan kepentingan nasional, kepentingan negara dan saya berpandangan Lee Zii Jia dan BAM meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.
“Tak payahlah kita nak negatif. Itu saya nak kata, jangan terlalu cakap tentang perkara itu. Kita nak cari solusi untuk menjaga imej negara, menjaga kepentingan semua pihak, dan InsyaAllah kita akan cari jalan keluar.
“Saya fikir, saya harap, untuk perkara ini, kita jangan terlalu menuding jari kepada mana-mana pihak. Lee Zii Jia pun tidak, BAM pun tidak, kita cari jalan keluar,” katanya.
Konflik Zii Jia-BAM | Jangan main tuding jari - Faizal Azumu
Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta Larian Baton Komanwel sempena Queen’s Baton Relay Commonwealth Games 2022 di Padang Lintau Kampung Tengku Hussein di Manjoi di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu Ahmad Faizal mengakui ada sesetengah pihak seolah-olah meletakkan kesalahan dalam isu berkenaan pada bahunya sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Katanya walaupun menerima kecaman berkenaan namun tetap berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan kekusutan tersebut demi kepentingan dan imej sukan negara.
Pada Jumaat, BAM memutuskan Zii Jia tidak akan didaftarkan persatuan berkenaan bagi mana-mana kejohanan antarabangsa melibatkan negara selama dua tahun bermula 18 Januari 2022.
Terdahulu Juara Seluruh England 2021 dan pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 2019 itu disahkan telah menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 11 Januari lalu.
Kemelut itu telah mengundang pelbagai reaksi terutama dalam kalangan peminat sukan badminton negara.
#Lee Zii Jia #BAM #badminton #Faizal Azumu
;