Konfederasi Sepaktakraw Malaysia kukuh, tak 'goyang' - Presiden

Bernama
Jun 21, 2022 12:09 MYT
Menurut Suhaili, EGM yang diadakan malam tadi lebih menjurus kepada penambahbaikan 20 perkara yang terkandung dalam perlembagaan MSC.- BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kedudukan Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai entiti baharu sepak takraw negara, tetap kukuh walaupun satu ahli gabungannya bertindak 'mengangkat kaki' meninggalkan mereka.
Presiden MSC Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata beliau tidak gusar sekiranya perkara itu berlaku kerana mereka sememangya diiktiraf Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) sebagai badan induk tunggal sukan itu di negara ini.
"Siapa pengelola sukan sepak takraw di Malaysia? Kita (MSC)...jika mereka (Pestak) mahu keluar, nak ke mana? Nak pergi Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM)?
"Perlu diingatkan MSC dapat surat kelulusan sebagai ahli ASTAF dan ISTAF, jadi kedudukan kami ketika ini sangat kuat sedangkan PSM yang ditubuhkan berpuluh tahun disingkirkan dari dua badan induk itu sebelum ini," katanya.
Suhaili berkata demikian selepas perwakilan Persatuan Sepaktakraw Negeri Kedah (Pestak) difahamkan tidak hadir pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), malam tadi.
Mengenai pelantikan Dr Noor Azam Samsudin sebagai Setiausaha Agung MSC menggantikan Timbalan Presiden Pestak Syed Hussain Syed Abu Bakar, Suhaili tidak melihat itu sebagai satu isu berbangkit.
Beliau juga percaya Syed Hussain yang sebelum ini memegang jawatan itu secara sementara tidak berkecil hati dengan keputusan berkenaan.
"Sejak hari pertama lagi dia (Syed Hussain) tahu lantikan itu dan dia akui memang dia dilantik sementara malah dia di Kedah, kita pula di Kuala Lumpur dan semua mesyuarat di sini, jadi sukar baginya datang melainkan pada hujung minggu," katanya.
Sementara itu, beliau juga tidak melihat Syed Hussain yang dikhabarkan menyertai sebuah bengkel anjuran PSM sebagai satu 'kesalahan'.
"Tiada isu pun kerana PSM masih persatuan berdaftar cuma mereka bukan badan pengelola sukan...kalau dia nak tambah ilmu melalui bengkel tak boleh halang, kita tak ekstrem sehingga berlaku pemecatan," katanya.
Sementara itu, Suhaili berkata EGM yang diadakan lebih menjurus kepada penambahbaikan 20 perkara yang terkandung dalam perlembagaan MSC.
-- BERNAMA
#Konfederasi Sepaktakraw Malaysia #MSC #Suhaili Abdul Rahman #ISTAF
;