Komunikasi cemerlang kunci kemenangan skuad skuasy remaja wanita negara di India

Bernama
Februari 13, 2023 06:45 MYT
Skuad skuasy negara tiba dari Chennai, India, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, malam tadi. - Foto BERNAMA
SEPANG: Kepercayaan dan komunikasi yang baik antara pemain menjadi kunci kejayaan skuad skuasy wanita negara mempertahankan gelaran juara Kejohanan Berpasukan Remaja Asia buat kali keempat berturut-turut di Chennai, India, pada Ahad.
Skuad dibarisi empat pemain, Aira Azman, J Yasshmita, Whitney Isabelle Wilson dan Doyce Lee nyata unggul mempamerkan pukulan bertenaga untuk meneruskan dominasi Malaysia dalam acara berkenaan pada tahun 2015, 2017 dan 2019, walaupun kesemua membuat penampilan buat julung kalinya dalam pentas berprestij itu.
Bertindak sebagai ketua kumpulan bagi skuad wanita, Aira, 18, melahirkan rasa bersyukur yang tidak terhingga atas kejayaan dan menyifatkan usaha pasukan yang berlatih bersungguh-sungguh selama ini berbaloi terutamanya apabila perlu membimbing dua rakannya yang berusia 15 tahun iaitu Whitney Isabelle dan Doyce.
"Sebelum pergi memang ada tekanan kerana kami diletakkan harapan untuk mempertahankan kejuaraan remaja Asia. Bagaimanapun, kita menangani tekanan dengan baik sekali.
"Kunci kejayaan semestinya keyakinan diri antara pemain serta semangat berpasukan... sebab saya kalah semasa bertemu India pada aksi separuh akhir.
"Namun, kita berjaya mara ke final dengan kemenangan 2-1 sebab pasukan tampilkan aksi bertenaga dan kami saling memahami," katanya kepada pemberita selepas skuad negara tiba dari Chennai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.
Mengulas mengenai kejohanan itu, Aira, juara remaja Asia 2022, yakin Whitney Isabelle dan Doyce mampu menggalas cabaran negara untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kelima dengan semangat yang ditampilkan mereka, memandangkan beliau dan Yasshmita (18 tahun) sudah melebihi umur pada edisi seterusnya.
Pada Ahad, skuad wanita muncul juara selepas menewaskan Hong Kong 2-0 pada aksi final manakala skuad lelaki Malaysia menduduki tempat ketiga selepas tewas 0-2 kepada Pakistan pada aksi separuh akhir Sabtu.
-- BERNAMA
#skuasy remaja wanita #India #Kejohanan Berpasukan Remaja Asia #Aira Azman
;