Kompany digantung dua perlawanan

Sinar Harian
April 12, 2024 12:45 MYT
Bekas tonggak Belgium dan Manchester City itu akan menjalani penggantungan untuk perlawanan di tempat sendiri menentang Brighton & Hove Albion pada Sabtu, dengan perlawanan kedua digantung sehingga 31 Disember. - Foto AP
PENGENDALI Burnley, Vincent Kompany dikenakan penggantungan dua perlawanan dan didenda selepas melakukan protes ketika The Clarets seri 2-2 menentang Chelsea bulan lalu, kata Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA).
Kompany dilayangkan kad merah selepas membantah keputusan penalti setelah pemain Burnley, Lorenz Assignon dilayangkan kad kuning kedua kerana melakukan kekasaran, menyaksikan pasukan pelawat beraksi 10 pemain dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge pada 30 Mac lalu.
Bekas tonggak Belgium dan Manchester City itu akan menjalani penggantungan untuk perlawanan di tempat sendiri menentang Brighton & Hove Albion pada Sabtu, dengan perlawanan kedua digantung sehingga 31 Disember.
“Kompany mengakui bahasa atau tingkah lakunya pada minit ke-40 perlawanan adalah tidak wajar, kesat serta menghina pegawai perlawanan selain mempersoalkan integriti pegawai perlawanan," kata FA dalam satu kenyataan.
Keputusan Inggeris FA menyaksikan Kompany yang berusia 38 tahun itu didenda 10,000 pound (RM59,390). - Sinar Harian
#Vincent Kompany #digantung dua perlawanan #didenda #protes
;