Kombinasi menjadi bantu kemenangan Sri Pahang - Fandi
Bernama
Ogos 21, 2023 11:52 MYT
Ogos 21, 2023 11:52 MYT
KUANTAN: Kombinasi pemain yang 'menjadi' membantu Sri Pahang FC mencipta kemenangan 2-0 ke atas Harini FT di halaman sendiri semalam.
Keputusan pada aksi kedua pusingan 16 di Stadium Darul Makmur itu sekali gus membolehkan pasukan itu mara ke suku akhir Piala Malaysia dengan agregat 5-2, selepas merekodkan kemenangan 3-2 pada aksi pertama di Paroi, awal bulan ini.
Ketua Jurulatih Fandi Ahmad nyata berpuas hati dengan prestasi dipamerkan anak buahnya yang berjaya menterjemahkan perancangan semasa latihan dengan baik, terutama pada babak kedua perlawanan.
"Apa yang kita berlatih, itulah yang dilakukan pemain iaitu perancangan melakukan serangan dari bahagian sayap yang hasilnya membolehkan kita memperoleh dua gol.
"Bukan senang untuk berhadapan sebuah pasukan yang memiliki semangat juang tinggi, yang juga bermain dengan agak keras, tetapi syukur kerana pemain kita agak tenang dengan situasi di padang," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam tadi.
Pada perlawanan itu, kapten yang juga penyerang skuad Tok Gajah, Kpah Sherman muncul wira apabila meledakkan kedua-dua jaringan pada minit ke-42 dan ke-51.
Sementara itu, pengendali Harini FT P. Maniam berkata beliau menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka kerana menyedari masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki pasukannya.
"Babak pertama kita bertahan dengan baik sambil melakukan serangan balas, kita juga mendapat satu peluang keemasan tetapi kemudiannya membuat kesilapan sehingga membolehkan Sherman menjaringkan gol.
"Jika kita berjaya menghasilkan gol, ia dapat memberi lebih tekanan kepada Sri Pahang. Secara keseluruhan kita mempunyai taktikal yang baik dan hanya bolos dua gol kepada pasukan yang berada pada tahap berbeza," katanya.
-- BERNAMA