Komanwel 2022: Siti Zalina raih gangsa singles
Bernama
Ogos 2, 2022 09:00 MYT
Ogos 2, 2022 09:00 MYT
BIRMINGHAM: Peman boling padang berpengalaman negara, Siti Zalina Ahmad kembali meraih pingat indvidu dalam tempoh 16 tahun pada temasya Sukan Komanwel setelah menewaskan wakil Norfolk Island, Shae Wilson pada aksi penentuan gangsa acara singles wanita edisi Birmingham pada Isnin.
Atlet kebangsaan berusia 43 tahun itu bangkit daripada kekecewaan setelah tumpas di peringkat separuh akhir, untuk menewaskan pemain Norfolk Island itu 21-10 untuk meraih gangsa di Victoria Park, Leamington Spa di sini.
Terdahulu pada saingan separuh akhir Isnin, Siti Zalina tumpas kepada pemain dari Guernsey, Lucy Beere 15-21.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi pemain Australia, Ellen Ryan, yang menumpaskan Beere 21-17 di pentas final.
Kejayaan meraih gangsa individu itu juga adalah keempat bagi Siti Zalina di temasya Sukan Komanwel selepas memenangi kejuaraan singles pada edisi 2002 di Manchester, England, sebelum mempertahankan gelaran tersebut pada edisi 2006 di Melbourne, Australia.
Siti Zalina juga memenangi pingat emas dalam acara pairs bergandingan dengan Emma Firyana Saroji pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.
Pasangan Malaysia itu akan turun mempertahankan gelaran tersebut dalam acara pairs bermula Selasa ini (2 Ogos).
-- BERNAMA