KOM terima tajaan RM5 juta untuk tempoh tiga tahun
Bernama
Oktober 25, 2023 05:30 MYT
Oktober 25, 2023 05:30 MYT
PETALING JAYA: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menerima ransangan besar dengan penajaan berjumlah RM5 juta untuk tempoh tiga tahun bagi pembangunan atlet muda daripada syarikat konglomerat Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata) semalam.
Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata tajaan yang disalurkan itu bakal menjadi faktor penting untuk mencapai matlamat dalam pembangunan atlet.
"Dana ini menjadi sokongan yang amat penting dalam memberikan sokongan kewangan, sumber daya menerusi kejurulatihan dan pembangunan atlet olahraga. Ini penaja besar khusus untuk tujuan tersebut.
"Dengan bantuan dan sokongan ini, pencapaian dan kejayaan dalam sukan olahraga akan terus menjadi kenyataan dalam memungut lebih banyak pingat emas sekali gus membanggakan Malaysia," katanya pada sidang media majlis perjanjian penajaan antara KOM dan Cahya Mata Sarawak di sini.
Pengerusi Kumpulan Cahya Mata, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berharap tajaan yang diberikan mampu merealisasikan visi dan misi KOM dalam melahirkan lebih ramai atlet olahraga di peringkat akar umbi.
Cahya Mata merupakan syarikat pengusaha industri bahan binaan di Sarawak.
-- BERNAMA