KOM rancang tiga kejohanan sebagai persiapan Sukan SEA

Bernama
Disember 20, 2021 09:28 MYT
Para atlet negara ketika menyanyikan lagu kebangsaan pada majlis penyerahan Jalur Gemilang Konntijen Sukan SEA. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) merancang untuk menyediakan sekurang-kurangnya tiga kejohanan kepada atletnya sebagai persediaan ke Sukan SEA Hanoi, pada Mei tahun depan.
Timbalan Presidennya Datuk Mumtaz Jaafar berkata sekiranya keadaan mengizinkan, atlet akan dihantar bertanding di kejohanan luar negara bagi memastikan mereka mendapat pendedahan dan persaingan terbaik menjelang temasya dwitahunan itu.
"Kita mungkin akan anjurkan satu lagi kejohanan tertutup sebagai persediaan manakala kejohanan luar negara bergantung kepada keadaan semasa COVID-19 nanti, kerana ada negara yang tidak bagi kita masuk. Tapi kejohanan luar memang dalam program.
"Sekiranya tidak dapat menyertai kejohanan luar, kita akan adakan beberapa kejohanan di sini. Mungkin kita akan jemput atlet daripada satu atau dua negara untuk bertanding dengan atlet negara," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2021 di Stadium Mini Majlis Sukan Negara yang berakhir semalam.
Mumtaz turut meluahkan rasa puas hati dengan prestasi dan semangat juang para atlet yang beraksi pada kejohanan berkenaan walaupun sepanjang sesi hari pertama pada Sabtu dijalankan dalam cuaca hujan.
Sementara itu, beliau berkata pemilihan atlet ke Sukan SEA akan disenarai pendek dalam masa terdekat supaya persiapan dapat dimulakan, dengan kemungkinan besar skuad kali ini dibarisi oleh atlet senior dan pelapis.
"Kita belum muktamadkan lagi pemilihan, tetapi kalau ikut had kelayakan catatan pingat gangsa Sukan SEA 2019, saya rasa memang ramai yang layak. Kewangan pun kita harus berjimat pada kali ini," katanya.
-- BERNAMA
#Sukan SEA #Kesatuan Olahraga Malaysia #COVID-19 #kejohanan
;