KOM perlu beri alasan kukuh tambah jurulatih - Jefri

Bernama
Januari 22, 2025 16:37 MYT
Jefri Ngadirin berkata pihaknya tidak boleh bertindak semberono meluluskan permohonan itu sekiranya tiada kepentingan untuk skuad olahraga negara. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertimbangkan permohonan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menambah bilangan jurulatih sedia ada sekiranya badan induk itu mempunyai justifikasi yang kukuh.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) MSN Jefri Ngadirin berkata pihaknya tidak boleh bertindak semberono meluluskan permohonan itu sekiranya tiada kepentingan untuk skuad olahraga negara.
"KOM memohon enam jurulatih, namun kami hanya meluluskan tiga nama dalam perbincangan Jawatankuasa Kerja (JKK) baru-baru ini. Bagi tiga nama tambahan, mereka perlu mengemukakan rayuan berserta justifikasi jelas.
"Persatuan perlu menentukan acara yang benar-benar memerlukan jurulatih tambahan, dan Pengarah Teknikal KOM Robert Ballard perlu menyusun strategi untuk menyelesaikan isu ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Terdahulu, MSN memaklumkan sebarang keputusan berhubung pengambilan atau penamatan kontrak jurulatih terletak di bawah bidang kuasa persatuan sukan, dengan setiap cadangan perlu dibawa ke mesyuarat JKK untuk kelulusan.
Setakat ini, pasukan olahraga negara masih belum mempunyai jurulatih bagi skuad pecut selepas kontrak Mohd Poad Md Kassim tidak disambung pada penghujung tahun lepas.
-- BERNAMA
#Majlis Sukan Negara #kesatuan olahraga negara #mcn #kom #jurulatih #skuad olahraga #Jefri Ngadirin
;