KOM cari ketua jurulatih bagi enam disiplin, atlet bersara boleh mohon
Bernama
Julai 9, 2024 17:30 MYT
Julai 9, 2024 17:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang mencari ketua jurulatih bagi enam disiplin bagi memperkuat struktur kejurulatihan badan induk itu.
Enam disiplin itu ialah pecut dan lari berganti-ganti, lari berpagar, lari jarak jauh, lompatan iaitu lompat jauh, lompat kijang, lompat tinggi dan lompat bergalah, balingan merangkumi baling tukul besi, lempar cakera, lontar lembing serta lontar peluru dan lumba jalan kaki.
Pengurus Besar KOM Nurhayati Karim berkata perancangan untuk mengambil jurulatih baharu itu sudah bermula sejak Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara, Disember lepas.
"Dalam mesyuarat itu kita bincang untuk adakan posisi ketua jurulatih bagi setiap disiplin yang mana sebelum ini kita tidak ada posisi tersebut. Tugas ketua jurulatih setiap disiplin adalah untuk monitor prestasi jurulatih dan atlet masing-masing.
'Mereka juga bertanggungjawab untuk melaksanakan perancangan Pengarah Kejurulatihan KOM Robert Ballard (selain) penambahan jurulatih itu tidak akan menggugat kedudukan jurulatih-jurulatih sedia ada yang sedang berkhidmat ketika ini," katanya kepada Bernama hari ini.
Justeru, Nurhayati berkata semua pihak terutamanya bekas atlet atau atlet yang mahu bersara dialu-alukan untuk membuat permohonan bagi jawatan berkenaan dengan terus menghubungi Ballard menerusi e-mel robertjohn_ballard@y7mail.com atau di talian 012-2759342 sebelum tarikh tutup pada 5 petang Jumaat ini (12 Julai).
"Posisi ini terbuka kepada mereka yang berpengalaman dalam disiplin disebut tidak kira sama ada dalam atau luar negara. Kesemua pemohon akan ditapis terlebih dahulu sebelum kita menyenarai pendek calon-calon terbaik.
"Selepas itu mereka akan menjalani beberapa temu duga sebelum dilantik menjawat jawatan itu. Kami harap proses pelantikan akan selesai pada September ini," katanya.
-- BERNAMA