[KOLUMNIS] Selangor mungkin catat keputusan berbeza atas JDT jika guna taktikal sesuai berdasarkan data

Kolumnis AWANI
Ogos 31, 2024 12:30 MYT
Dalam perlawanan minggu lalu itu, JDT merangkul trofi Piala FA 2024/25 dengan membelasah Selangor 6-1. - Gambar/ Bernama
BOLA sepak secara tradisinya merupakan sukan yang menarik ramai peminat dari segenap pelusuk buana dan tidak hairanlah sekiranya ia menjadi sukan paling popular di dunia termasuk di Malaysia.

Ringkasan AI
  • Pasukan bola sepak di Malaysia semakin menggunakan data untuk menganalisis prestasi dan merancang strategi, terutama dalam Liga Super Malaysia 2024.
  • Bola sepak adalah sukan dengan banyak faktor rawak, jadi kedudukan liga bukanlah penentu mutlak kekuatan pasukan. Pasukan perlu menyesuaikan taktikal berdasarkan prestasi semasa dan data yang relevan.
  • Contoh penggunaan data oleh Selangor FC untuk merangka taktikal yang sesuai dalam menghadapi pasukan lebih kuat seperti Johor Darul Ta'zim FC, dengan mengambil kira perbezaan gol dan statistik lain.

Banyak peningkatan dalam mutu pengendalian pasukan bola sepak di Malaysia termasuk perancangan dari segi taktikal bagi memastikan pasukan membawa balik tiga mata berharga bagi setiap perlawanan.
Penggunaan data dalam bola sepak tidak terkecuali apabila hampir kesemua pasukan yang bertanding dalam Liga Super Malaysia 2024 mempunyai penganalisis prestasi bagi menganalis prestasi pasukan terutama dari segi taktikal di samping keupayaan fizikal pemain.
Ini bermakna data prestasi akan menentukan taktikal pasukan dalam menghadapi lawan sama ada yang mempunyai ranking yang lebih tinggi mahupun yang lebih rendah.
Cantiknya bola sepak ialah kerana sukan ini adalah sukan yang mempunyai kesan yang sangat rawak (random effect) kerana kurangnya gol yang dijaringkan dalam setiap perlawanan. Purata gol yang dijaringkan hanyalah 2.8 gol bagi setiap perlawanan berbanding sukan bola keranjang yang mencatatkan purata gol yang dijaringkan melebihi 200 gol.
Bagi jenis sukan yang mempunyai kesan yang sangat rawak (random effect), ranking pasukan tidak memberikan banyak kelebihan bagi pasukan bertanding. Ini bermakna pasukan bawahan liga mampu untuk melakukan kejutan terhadap pasukan yang lebih kuat kerana berkemungkinan (rawak) jaringan gol sendiri oleh pemain pasukan lawan, bola membias ke gawang gol atau pengadil memberikan keputusan yang salah di akhir perlawanan.
Setiap pasukan seharusnya menggunakan kelebihan ini untuk merancang taktikal pasukan berdasarkan data yang mereka ada. Paling utama, pasukan perlu 'sedar diri’ tentang mutu persembahan semasa mereka.
Jika kita merujuk kepada data yang salah, kita mungkin akan memberikan fokus kepada perkara yang salah. Sebagai contoh, kalau kita ambil kedudukan carta liga, pasukan menghuni tangga teratas dikira paling kuat dan pasukan menghuni tangga paling bawah adalah pasukan yang paling lemah.
Namun kedudukan liga sahaja tidak boleh diambil sebagai faktor utama kerana pasukan yang menang 1-0 atau pasukan yang menang 6-0 akan mendapat mata yang sama iaitu tiga mata. Lebih tepat jika kita merujuk kepada perbezaan jaringan gol kerana ianya lebih mengambarkan prestasi sebenar pasukan.
Faktor-faktor lain seperti nilai jangkaan jaringan (expected goal), purata gol bagi setiap perlawanan, peratusan jaringan gol mengikut masa permainan dan banyak lagi.
Bagi memudahkan perbandingan, kita ambil contoh pasukan yang bertanding dalam perlawanan akhir Piala FA 2024 iaitu Selangor FC (SFC) dan Johor Darul Ta'zim FC (JDT).
Dalam perlawanan minggu lalu itu, JDT merangkul trofi Piala FA 2024/25 dengan membelasah Selangor 6-1 menyaksikan skuad di bawah kendalian Hector Bidoglio itu meraih kemenangan hatrik selepas turut mengungguli piala berprestij itu pada edisi 2022 dan 2023.
JDT memperoleh kemenangan menerusi jaringan hatrik Juan Muniz serta Arif Aiman Hanafi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes manakala Selangor FC memperoleh gol menerusi Alvin Fortes.
Sekiranya kita melihat pada kedudukan liga, dua pasukan ini nampak seimbang apabila JDT menghuni takhta liga dan SFC di tempat kedua dengan perbezaan hanya tiga mata.
Namun, jika kita lihat pada jumlah perbezaan gol, ternyata JDT begitu konsisten dengan mencatatkan +24 gol berbanding dengan SFC hanya +8 gol.
Kita tidak akan membincangkan tentang JDT kerana dari prestasi semasa kita andaikan JDT adalah pasukan yang lebih bersedia. Kita akan membincangkan tentang bagaimana SFC boleh menggunakan data dalam menentukan taktikal pasukan bagi menhadapi pasukan seperti JDT. Bagi sukan yang mempunyai kesan yang sangat rawak, ditambah pula dengan aura pentas final, ianya tidak memberikan kelebihan pada mana-mana pasukan kerana pasukan yang berada di pentas perlawanan akhir sememangnya pasukan yang kuat.
Bagi pendapat saya, SFC perlu lebih matang dalam taktikal dan bersabar dalam melayan kerenah JDT. Reputasi gol purata 3.5 bagi setiap perlawanan sepatutnya diambil kira kerana itu adalah keupayaan JDT.
Tiada malunya untuk 'park the bus' kerana itu juga merupakan salah satu taktikal. Kita boleh lihat bagaimana pasukan bola sepak Greece mengejutkan dunia dengan memenangi kejohanan Euro 2004 dengan taktikal yang sama.
Data menunjukkan keupayaan JDT dalam menjaringkan gol mengikut masa permainan, mereka lebih berupaya menjaringkan gol di separuh masa kedua (1.86 gol) berbanding separuh masa pertama (1.78 gol).
SFC seharusnya ’melayan’ pasukan seperti JDT dengan gaya permainan kawalan yang lebih ketat di barisan pertahanan sambil jika ada peluang akan melakukan serangan balas. Ini dilakukan oleh SFC dalam mendapatkan satu-satunya gol dalam perlawanan tersebut apabila hanya menggunakan tiga hantaran untuk menjaringkan gol. Syabas!
SFC seharusnya menggunakan data yang ada untuk merangka bukan hanya taktikal tetapi termasuk juga penggantian pemain. Bilakah masa yang sesuai bagi pemain untuk digantikan mengikut taktikal pasukan dan bukan melakukan gantian hanya kerana pemain mengalami kecederaan.
Percaya pada taktikal adalah penting bagi menghadapi pasukan yang lebih kuat kerana mereka merangka setiap pergerakan dan hanya akan melakukan serangan apabila pemain-pemain mereka bersedia dan mereka melakukan bersama-sama.
Sekiranya SFC melakukan taktikal yang betul, tidak mustahil untuk mereka mengheret permainan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti atau mampu untuk mengurangkan defisit gol.
Saya hanya mengambil contoh bagi pasukan JDT dan SFC bagi memudahkan pembaca memahami apa yang saya cuba sampaikan. Perkara yang paling utama adalah pengunaan data bagi menentukan taktikal pasukan dan ia berdasarkan pasukan mana yang akan kita hadapi.
Tidaklah kita hanya menggunakan taktikal yang sama dari perlawanan pertama liga hinggalah ke perlawanan terakhir liga tanpa mengira pasukan lawan.

* Dr Norasrudin Sulaiman ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#final piala FA #JDT #Selangor FC #data taktikal