Kod Sukan Selamat: Tiada lagi pembiayaan aktiviti yang ditaja jenama vape, tembakau

Madiha Abdullah
Julai 10, 2024 11:30 MYT
Hannah merasmikan Wellness Centre milik Pusat Perubatan Cengild G.I, pada Rabu.
KUALA LUMPUR: Kod Sukan Selamat yang diperkenal tahun lalu telah ditambah baik dengan peraturan baharu membabitkan larangan penglibatan jenama tembakau, rokok elektronik (vape) atau alkohol bagi acara atau aktiviti yang mendapat pembiayaan dari Kementerian Belia dan Sukan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, larangan itu terpakai untuk semua pemohon peruntukan geran padanan sukan dan dana sukan komuniti.
"Apa-apa penganjuran aktiviti sukan yang melibatkan vape, rokok dan alkohol, kita tak akan bagi peruntukan satu sen pun.
"Kalau selepas kita luluskan peruntukan, kita dapat tahu mereka ada buat kerjasama atau tajaan daripada syarikat berkaitan, kita akan siasat. Kalau betul ada, kita akan batalkan peruntukan.
"Malah kita sebagai pemilik Perbadanan Stadium juga, turut melaksanakan larangan yang sama di stadium," katanya.
Jelas Hannah, pihaknya prihatin dengan pelbagai isu membabitkan masalah kesihatan terutama dalam kalangan anak muda, yang berpunca daripada rokok dan vape.
Isu itu lebih menarik perhatian selepas berita penajaan sebuah pasukan sukan oleh syarikat berkaitan vape, diperkatakan ramai awal tahun ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen anti merokok anjuran bersama Pusat Perubatan Cengild G.I, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di ibu negara, pada Rabu.
Hannah menambah, penajaan sukan oleh jenama vape terutamanya, semakin rancak sejak kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan berhubung promosi produk berkenaan secara tidak langsung kepada anak muda.
Justeru, beliau melihat adanya keperluan untuk pelbagai agensi duduk berbincang bagi mencari naratif berbeza untuk mempromosikan kempen anti merokok terutamanya dalam kalangan anak muda.
"Kita perlu cara yang berbeza untuk 'menjual' kempen anti merokok. Data yang ada sudah cukup kuat, bukti dari segi sains juga sudah terpampang tetapi apabila bercakap tentang tabiat, kita perlu lebih agresif dalam mempromosikan alternatif.
"Kita asyik beritahu, berhenti merokok, jangan merokok. Tetapi bagi mereka yang sudah merokok, ia tidak semudah kita bercakap.
"Jadi kita perlu perah otak, bagaimana mahu memahami generasi muda dan apa yang perlu dibuat untuk bawa mereka keluar dari tabiat itu," katanya lagi.
#anti merokok #vape #sukan #Hannah Yeoh