Kod Sukan Selamat kekal keutamaan KBS - Hannah Yeoh
Bernama
Disember 16, 2022 09:30 MYT
Disember 16, 2022 09:30 MYT
PETALING JAYA: Pelaksanaan Kod Sukan Selamat kepada semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) tetap menjadi keutamaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kata Menterinya Hannah Yeoh.
Beliau berkata kementerian sedang giat membuat penelitian supaya aspek keselamatan lain turut dititikberatkan selain daripada aspek gangguan seksual dalam kod berkenaan yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
"Saya sudah adakan perbincangan dengan pihak KBS mengenai Kod Sukan Selamat dan perkara ini bukan sahaja dari segi gangguan seksual tapi buli misalnya untuk memastikan tiada unsur keganasan dalam persekitaran industri sukan.
"Kami sedang meneliti di peringkat kementerian dan tak lama lagi kami akan adakan rundingan dengan pemegang taruh sebelum ia dilancarkan. Jadi kami jangkakan untuk percepatkan dan ia satu keutamaan untuk KBS," katanya kepada Bernama pada Sambutan Gala Ulang Tahun Kelima Tahun Selangor Youth Community (SAY) di sini malam tadi.
Kod itu yang merangkumi tatacara kelakuan bakal diguna pakai untuk mengendalikan aduan mengenai gangguan seksual dalam industri sukan sebelum digantikan dengan Akta Sukan Selamat pada masa akan datang.
-- BERNAMA