KLSCM 2023: Sakit lutut bukan penghalang Poovasanathan juarai Terbuka Malaysia
Astro Arena
Oktober 1, 2023 06:50 MYT
Oktober 1, 2023 06:50 MYT
TUJUH kilometer akhir menjadi detik paling sengsara buat pelari negara, S Poovasanathan.
Dia menamatkan larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2023 di tempat pertama bagi kategori Terbuka Malaysia menerusi catatan masa 2 jam 37 minit 38 saat.
Kesakitan di lutut kanan yang mula ditanggungnya sebaik memasuki kilometer ke-35 menyebabkan dia terpaksa memperlahankan larian.
Tindakan itu mengganggu sasarannya untuk memperbaiki catatan peribadi dengan Poovasanathan cuba mengimbangi lariannya dengan memulakan pecutan di kilometer akhir sebelum tiba di garisan penamat.
Dia bagaimanapun sekadar menyamai catatan peribadi yang pernah dilakukan olehnya dalam Sukan SEA Kemboja Mei lalu.
"Ini antara catatan saya yang paling teruk.
"Saya perlu menahan kesakitan sejak 35km dan hanya sepenuh kekuatan dalam 1km terakhir," katanya di ibu kota.
Juara Terbuka Malaysia kategori wanita, Michelle Chua, pula mempunyai perkongsian menarik menerusi catatan 3'13:06s.
Bermula dengan tekanan perasaan yang kronik selepas melahirkan anak sulung, Michelle, pernah berlari dalam hujan sambil menangis ekoran terlalu tertekan dengan keadaan.
Dari situ, Michelle berasa tenang sambil berpendapat larian mampu menenangkan emosinya dengan memilih KLSCM 2023 sebagai pelantar untuk kembali ke kancah maraton selepas terlepas dua edisi Sukan SEA.
"Suami memberi ruang kepada saya untuk melepaskan tekanan dengan larian pada sebelah pagi," katanya pula.
Bagi kategori terbuka, dua pelari Kenya mengungguli kategori lelaki dan wanita dengan Kiprop Tonui mengesahkan podium utama miliknya menerusi catatan 2'13:49s manakala kategori wanita milik Beatrice Jelagat Cherop dengan catatan 2'32:49s.