Klose pecah rekod gol Piala Dunia

Astro Arena
Julai 9, 2014 09:34 MYT
Klose menyamai catatan gol 15 gol milik penyerang Brazil, Ronaldo ketika Jerman diikat Ghana 2-2 - (AP Photo/Frank Augstein)
Penyerang Jerman Miroslav Klose berjaya mencapai matlamatnya untuk muncul sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia FIFA.
Klose menyamai catatan gol 15 gol milik penyerang Brazil, Ronaldo ketika Jerman diikat Ghana 2-2, dan jaringannya ke atas pasukan tuan rumah dalam kemenangan separuh akhir 7-1 pagi tadi bermaksud dia kini mendahului senarai jaringan dengan 16 gol.
Pemain berumur 36 tahun itu membuat penampilan sulungnya pada 2002 di Korea Selatan dan Jepun, dengan mencetak lima gol.
Klose kemudian menambah lima gol lagi dalam edisi Piala Dunia 2006 yang dianjurkan oleh negara kebangsaannya lalu meraih but emas dalam temasya tersebut.
Penyerang Lazio itu terus membuktikan sentuhan berbisanya apabila mengumpul empat gol di Afrika Selatan pada 2010, di mana pasukan Jerman terkandas di peringkat separuh akhir selepas ditumpaskan oleh Sepanyol.
Pencapaian Klose ini bermakna pemain Jerman kembali mengungguli carta jaringan Piala Dunia selepas Gerd Muller memegang rekod tersebut dari tahun 1974 hingga 2006 menerusi ledakan 14 gol. -- Astro Arena
#Brasil #Brazil #Chile #FIFA #Miroslav Klose #Piala Dunia #sepanyol
;