Klopp tidak tolak bersara sejurus kontrak Liverpool tamat

Astro Arena
Ogos 18, 2020 15:57 MYT
"Saya akan berehat selama setahun dan bertanya kepada diri sendiri adakah saya akan merindui bola sepak," ujar Klopp. - Gambar fail
JURGEN KLOPP mengulangi hasrat untuk meninggalkan Liverpool sebaik kontraknya berakhir dan mungkin bersara daripada bidang pengurusan selepas bercuti selama setahun.
Pengurus berusia 53 tahun itu telah memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara (UCL), Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA dalam tempoh lima musim di Anfield manakala kontraknya terikat sehingga 2024.
Saham Klopp melonjak tertinggi selepas mengakhiri penantian selama 30 tahun The Reds untuk meraih kejayaan liga tetapi dia tidak akan memperbaharui perjanjiannya dan mungkin akan meninggalkan sukan ini sepenuhnya.
"Saya akan berehat selama setahun dan bertanya kepada diri sendiri adakah saya akan merindui bola sepak. Sekiranya tidak, maka itu adalah pengakhiran Jurgen Klopp sebagai pengurus.
"Jika suatu hari kelak saya tidak lagi menjadi pengurus, ada satu perkara yang tidak akan saya rindukan: situasi penuh tegang sebelum perlawanan," katanya kepada Sport Buzzer.
Skuad dari Merseyside itu kembali menjalani latihan pra-musim selepas rehat singkat sejurus musim lalu berakhir apabila mereka akan kembali ke aksi kompetitif, hanya tiga minggu selepas musim ini berakhir.
Begitupun, sungguhpun berdepan rehat yang singkat, Klopp masih yakin pemainnya sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran EPL.
"Seluruh kelab ini teruja untuk mengharungi musim baru dan mahu melakukan yang lebih baik lagi.
"Kami ingin menghambat lawan dan bola di seluruh pelusuk padang dan terus menjadi sebuah pasukan yang bukan senang untuk dihadapi.
"Kami bukan hanya mempertahankan gelaran, kami ingin mendapatkan yang baru - kami baru sahaja mulai menang," katanya.
Klopp baru-baru ini dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik musim ini dan secara meluasnya dianggap sebagai pengurus terbaik di dunia selepas sekali lagi mengharungi musim yang berjaya bersama Liverpool.
Namun, bekas pengurus Mainz dan Borussia Dortmund itu dengan pantas berkongsi pujian tersebut dengan kakitangan belakang tabir selain pendapat situasi itu boleh berubah dengan pantas.
"Tidak lama dahulu Klopp gagal memenangi aksi final, apatah lagi Liga Perdana seumur hidup ini.
"Sekarang semuanya menjadi perhatian dan dirasakan berbeza. Tentu saja, kita lebih suka menjadi popular daripada tidak. Lebih baik langsing daripada gemuk. Dan kemenangan juga lebih bagus daripada kekalahan.
"Kini saya seorang pengurus yang lebih baik berbanding 10 tahun yang lalu -- pakej keseluruhan Klopp lebih tekal dan lebih kompleks.
"Dalam tugasan saya di England ini, adalah mustahak untuk menghasilkan yang terbaik dan paling bermotivasi dalam semua bidang serta memenangkannya. Inilah kesenian dan cabaran terbesarnya.
"Pemain, pelatih, pakar terapi, tukang urut, doktor, penganalisis video, penasihat pemakanan, komunikasi -- atau sesiapa sahaja. Kami berada di posisi yang sensasi di Liverpool FC.
"Saya 100 peratus mempercayai kakitangan saya. LFC jauh daripada sekadar seorang individu," katanya.
#bola sepak #EPL #jurgen klopp #kerjaya #Liverpool #pengurus #piala super #UCL #UEFA
;