Klopp puji prestasi Fabinho lawan Ajax
Astro Arena
Oktober 22, 2020 09:53 MYT
Oktober 22, 2020 09:53 MYT
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, memuji prestasi Fabinho ketika menentang Ajax dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi sambil menegaskan dia tidak terkejut dengan apa yang dipamerkan pemain kebangsaan Brazil itu.
Dengan ketiadaan Virgil van Dijk ekoran kecederaan lutut serius, Fabinho memulakan perlawanan itu sebagai gandingan Joe Gomez di posisi pertahanan tengah dan membantu Liverpool memulakan kempen UCL musim ini dengan kemenangan 1-0 di Amsterdam.
Selain menyelamatkan percubaan Dusan Tadic di atas garisan gol, Fabinho turut melakukan empat terjahan, mengeluarkan bola sebanyak sembilan kali selain empat pintasan.
Klopp gembira dengan apa yang dipamerkan pemain Brazil itu di mana jaringan sendiri Nicolas Tagliafico dalam babak pertama sudah cukup untuk Liverpool memulakan aksi Kumpulan D itu dengan kemenangan.
"Mengenai kombinasi Joey dan Fabinho ini, jika saya 100 peratus betul, saya tidak fikir mereka pernah bergandingan sebelum ini. Mungkin ada sekali tetapi saya tidak pasti," katanya dalam sidang media.
"Jadi mereka perlu membiasakan diri dengan keperluan untuk bersuara di posisi itu -- apa yang perlu anda katakan daripada sana kepada pemain tengah dan segala perkara seperti itu.
"Ia satu persembahan yang amat baik tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki -- tentang seberapa tinggi dan rendah barisan terakhir dalam waktu yag sesuai, dalam situasi untuk melindungi, dalam memberikan tekanan, bagaimana untuk kami memberikan reaksi -- tetapi ia bukan satu masalah. Ia sememangnya bagus dan kami perlu meneruskannya," katanya.
Dengan Van Dijk dijangka akan terlepas hampir keseluruhan perlawanan musim ini, Fabinho akan memainkan peranan penting buat juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Klopp, yang pasukannya akan menantikan kunjungan Sheffield United dalam EPL Sabtu ini, berkata bahawa dia tidak terkejut dengan peningkatan prestasi pemain berusia 26 tahun itu.
"Lihat, dengan situasi yang kami hadapi, ia membantu. Sudah pasti, adakah tekanan dalam situasi itu? Benar, amat jelas buat dua pertahanan tengah itu. Ia perlawanan pertama mereka bersama.
"Fabinho boleh bermain di posisi itu, dia sebenarnya menggemarinya.
"Jika saya mengarahkannya untuk beraksi sebagai bek kanan, saya tidak fikir dia akan menikmatinya sepertimana dia beraksi di bahagian tengah.
"Dalam situasi kami buat masa ini, kami perlu memastikan setiap pemain cergas supaya mereka dapat membantu kami.
"Saya tidak terkejut dia dapat beraksi baik di posisi itu. Jika tidak, kami akan mencari penyelesaian terbaik walaupun ia akan menjadi sesuatu yang sukar," katanya lagi.
#jurgen klopp
#Liverpool
#Liga Perdana Inggeris
#UCL
#pengurus
#Virgil Van Dijk
#kecederaan lutut
#Fabinho
#Ajax
#Amsterdam