Klopp puji impak Salah selepas kembali pamer sentuhan berbisa

Astro Arena
Julai 26, 2018 13:49 MYT
Salah bangkit dari bangku simpanan untuk mengimbangi jaringan pembukaan Leroy Sane pada minit ke-63. - Gambar fail
JURGEN KLOPP menegaskan Mohamed Salah tidak mempunyai masalah bahu sambil memuji bintang Liverpool itu yang menemui sentuhan penyudah ketika menentang Manchester City.
Salah membuat kemunculan semula bersama Liverpool dalam kemenangan 2-1 dalam kempen Piala Juara-Juara Antarabangsa (ICC) di New Jersey, Amerika Syarikat, sebentar tadi.
Bintang Mesir itu dilanda kecederaan bahu ketika Liverpool tumpas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara (UCL) kepada Real Madrid, Mei lalu.
Bagaimanapun, Salah -- pemenang Kasut Emas Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Pemain Terbaik Tahunan -- tidak menunjukkan tanda-tanda ketidakselesaan selepas menjaringkan gol, hanya seminit selepas dimasukkan.
Salah bangkit dari bangku simpanan untuk mengimbangi jaringan pembukaan Leroy Sane pada minit ke-63 dan percubaannya menggegar palang sejurus selepas itu sebelum Sadio Mane menyempurnakan penalti pada minit keempat masa kecederaan.
Ditanya mengenai penyerang itu, pengurus Liverpool, Klopp, memberitahu pemberita: "Saya sudah berkata sebelum perlawanan, ia bukan satu masalah -- dia tidak mempunyai masalah. Dia hanya perlu membiasakan diri dengan semua perkara yang berbeza.
"Kami berusaha keras untuk menguatkan otot-ototnya dan perkara seumpamanya. Kebiasaannya, anda tidak melakukan apa-apa dengan bahu tetapi dalam sesi pemulihan, anda akan berasa tentang beberapa perkara dan anda perlu belajar, itu normal. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai masalah sama sekali. Saya tidak khuatir, jika tidak, dia tidak akan bermain.
"Dia menjaringkan gol selepas 35 saat dimasukkan. Dia membuat impak besar bersama Sadio dan Dom (Solanke) manakala bahagian tengah menerusi Marko (Grujic), Pedro (Chirivella) dan Ben (Woodburn) beraksi hebat.
"Kedua-dua pertahanan itu benar-benar terlibat dalam situasi serangan yang kurang dijelmakan dalam babak pertama. Kedua-dua pertahanan tengah juga bermain baik, Nat Phillips terkejut dengan prestasinya sendiri di peringkat ini, Raggy bermain bagus; begitu juga Caoimhin (Kelleher) yang membuat aksi menyelamat yang baik.
"Oleh itu, aksi baik dalam separuh masa membantu kami kerana kita semua menyaksikannya, semuanya baik. Kami hanya perlu terus bekerja keras dan memastikan bahawa dalam dua minggu ini, kami lebih cergas berbanding perlawanan ini."
Separuh pertama berlangsung hambar, namun pertembungan ICC itu bertukar rancak selepas rehat dengan pengenalan Salah dan Mane untuk Liverpool bangkit daripada kekalahan 1-3 kepada Borussia Dortmund, tempoh hari.
Sementara itu, juara EPL, City, tumbang buat kali kedua berturut-turut berikutan ketiadaan bintang Piala Dunia 2018.
"Saya cukup yakin Pep (Guardiola) agak marah kerana dia tidak suka serta benci (dengan kekalahan), sepertimana saya juga," tambah Klopp. "Saya tidak gembira dengan permainan menentang Dortmund walaupun terdapat situasi yang lebih baik daripada hari ini, terutama dalam babak pertama.
"Jika anda kalah, maka anda tewas satu perlawanan. Bagaimana kami boleh berasa gembira? Jika kami memenangi perlawanan, itu bagus. Kami menang ke atas City tetapi kami kalah di tangan Dortmund, jadi apa maksudnya?
"Ini adalah aksi pra-musim, ia tidak begitu penting. Perlawanan pula adalah sangat penting tetapi ia bukanlah petanda hala tuju atau apa sahaja.
"Ia hanya satu perlawanan yang kami mainkan dan banyak detik baik yang boleh kami gunakan serta banyak detik buruk yang boleh kami perbaiki. Itu sahaja," katanya lagi.
#bola sepak #ICC #jurgen klopp #Liverpool #Manchester City #Mohamed Salah #piala juara-juara antarabangsa
;