Klopp ketepikan sentimen jabat tangan dengan Simeone
Astro Arena
November 3, 2021 11:44 MYT
November 3, 2021 11:44 MYT
JURGEN Klopp menegaskan bahawa dia amat menghormati Diego Simeone berdasarkan pencapaiannya bersama Atletico Madrid dan sedia mengetepikan kontroversi tidak berjabat tangan di antara mereka.
Liverpool bakal melayani kunjungan Atleti dalam Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok, dua minggu selepas kemenangan 3-2 ke atas juara Sepanyol itu di Wanda Metropolitano.
Dalam pertemuan lalu, Klopp mahu bersalaman dengan Simeone sebaik wisel penamat, tetapi pengurus berbangsa Argentina itu segera menuju ke arah terowong, lalu meninggalkan rakan sejawatannya itu terpinga-pinga.
Kemudian barulah Klopp sedar bahawa Simeone sememangnya jarang terlibat dengan tindakan seperti itu selepas perlawanan, jadi dia tidak akan menghadapi masalah sekiranya pengurus daripada LaLiga tersebut melakukan tindakan yang sama selepas perlawanan di Anfield esok.
Pengurus Liverpool itu kini lebih peka dalam usaha mewujudkan suasana yang benar-benar istimewa untuk menentang sebuah pasukan yang dianggapnya sebagai antara yang terbaik di dunia.
"Saya sangat menghormati atas apa yang dia lakukan, saya telah mengatakan berkata sebelum dan selepas perlawanan tetapi secara peribadi, kami tidak dapat mengulas mengenai di antara satu sama yang lain kerana kami tidak saling mengenali," katanya kepada pemberita.
"Tetapi saya amat menghormatinya atas apa yang dilakukannya di Atletico dan berapa lama dia melakukannya. Ia benar-benar luar biasa. Untuk menghadapi sebuah pasukan yang benar-benar mantap, berada di kedudukan yang begitu baik tahun demi tahun jadi ia sangat mengagumkan.
"Jika saya tahu dia memang tidak berjabat tangan selepas perlawanan, pasti saya tidak akan mencubanya. Kemudian tidak perlu untuk saya melambai kepadanya, saya benar-benar tidak gembira mengenainya. Kami berdua begitu beremosi dan itulah perasaan saya ketika itu. Tetapi sekarang saya sudah tahu dia tidak mahu melakukannya selepas perlawanan, jadi tiada masalah.
"Ini adalah perlawanan yang sangat penting bagi kami dan saya lebih mengambil berat tentang itu. Kami mahu mencipta suasana yang benar-benar istimewa dalam perlawanan yang sangat emosional ini. Ia adalah satu perlawanan getir menentang sebuah pasukan yang mantap tetapi prestasi kami juga boleh tahap.
"Kami tidak pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan Atletico sejak pelantikan Diego. Situasi di peringkat kumpulan juga mempengaruhi perlawanan ini.
"Atleti pasti akan fikir mereka memerlukan tiga mata dan kami mahu memenangi semua perlawanan yang dihadapi. Kami sangat gembira tahun lalu kerana layak ke UCL kerana sedar kami akan mengharungi malam seperti ini. Sekarang, kami harus meraikannya bersama penyokong kami."