Klopp geram dengan barisan pertahanan
Astro Arena
Disember 23, 2017 12:31 MYT
Disember 23, 2017 12:31 MYT
ARSENAL 3 LIVERPOOL 3
Jurgen Klopp kesal dengan pertahanan Liverpool selepas ditembusi dengan dua gol pantas Arsenal untuk terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 3-3 di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Segala perancangan The Reds tampak sempurna apabila Mohamed Salah menggandakan jaringan Liverpool selepas 52 minit permainan -- pemain Mesir itu turut menyumbang kepada gerakan gol pertama sumbangan Philippe Coutinho.
Bagaimanapun, Arsenal bingkas bangkit beberapa minit selepas itu untuk mengikat kepada 2-2 hasil tandukan Alexis Sanchez dan rembatan deras Granit Xhaka, malah anak buah Klopp membenarkan tuan rumah mendahului menerusi sentuhan pemusnah Mesut Ozil.
Ia perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang rancak namun barisan pertahanan dan penjaga gol Liverpool menimbulkan banyak persoalan.
Bagaimanapun, Klopp enggan terlalu meratap selepas Roberto Firmino memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata ketika permainan berbaki enam minit.
"Tiga gol di Arsenal sepatutnya memadai. Kami sepatutnya menang pada hari ini," katanya kepada Sky Sports.
"Pertahanan dah satu hal dan kami juga membuat kesilapan. Tiga kesilapan dalam satu perlawanan memberi peluang kepada Arsenal untuk bangkit tetapi dari segi corak permainan, sekali lagi, kami mempamerkan rentak kemenangan.
"Konsistensi itu bagus, kami berdepan cabaran yang menyaksikan kami bingung bagaimana kami hanya memungut satu mata sahaja tetapi itu benar, kami terus mengulanginya dan pada masa ini, ia mengecewakan.
"Saya berang namun saya tidak mampu mengubahnya malam ini. Ada perkara yang perlu kami lakukan dan menghadapi perlawanan yang seterusnya."
Perhatian tertumpu kepada prestasi Simon Mignolet, terutama ketika percubaannya untuk menyelamatkan serangan jarak jauh Xhaka.
Klopp mengakui penjaga golnya itu sepatutnya bertindak dengan lebih baik tetapi memilih untuk tidak memperbesarkan kesalahan itu.
"Saya fikir Simon tidak mempunyai alasan ketika masa ini," katanya. "Dia salah faham, begitulah kehidupannya.
"Kalau dia menggunakan kedua-dua tangannya mungkin boleh membantu.
"Dia terkejut dan itulah bagaimana ia berlaku, usahlah kita perbesarkan hal itu."