Klopp cabar Liverpool bangkit derbi Merseyside
Sinar Harian
Februari 11, 2023 09:45 MYT
Februari 11, 2023 09:45 MYT
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyeru para pemainnya untuk membuktikan mengapa kelab itu istimewa dalam derbi Merseyside menentang Everton dalam Liga Perdana Inggeris, awal pagi Selasa (14 Feb).
Pertembungan di Anfield tiba ketika Liverpool merosot di tempat ke-10 liga selepas separuh musim bergelut prestasi buruk dan kecederaan, manakala Everton sedang bergelut untuk mengelak penyingkiran.
Situasi terkini itu bukan satu kedudukan biasa bagi Klopp dan pasukannya selepas pencapaian konsisten sejak pengendali Jerman itu tiba pada 2015.
Namun ini realiti baharu Liverpool dan Klopp tahu kemenangan menentang Everton amat penting, terutamanya selepas kekalahan 0-3 kepada kelab bawahan, Wolverhampton Wanderers hujung minggu lalu, tiga kekalahan dan satu mata daripada empat perlawanan liga terakhir The Reds.
"Sejujurnya ini bukan masa yang kami mahukan atau masa yang kami gembira untuk berada pada ketika ini.
"Sudah tiba masanya kami dapat menunjukkan bahawa kelab ini benar-benar istimewa. Pemain melakukan banyak perkara hebat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kami berjuang untuk mengubah keadaan ke arah lebih baik.
"Saya sangat menantikan suasana derbi dan permainan bola sepak yang sesuai," kata Klopp.
Klopp sebelum ini memberi para pemainnya cuti dua hari selepas tewas di Wolves bagi mengubah mood mereka.
"Ia membantu. Minggu ini mereka semua kelihatan sangat segar. Itulah kebenarannya. Sesi latihan kelihatan sangat baik, sangat sengit," kata Klopp.
Klopp sekurang-kurangnya mempunyai berita baik apabila penyerang Diogo Jota, yang mengalami kecederaan betis yang serius pada Oktober, bersedia untuk kembali beraksi.
"Diogo sudah dua hari berlatih. Tiga hari lagi dan kemudian dia akan bersaing dan bersedia untuk perlawanan ini," kata Klopp, walaupun dia mengesahkan bahawa Virgil van Dijk tidak mungkin beraksi walaupun kembali berlatih.
Everton, yang seri 0-0 di tempat sendiri menentang Liverpool pada September, berada di tangga ketiga dari bawah, namun berada pada momentum terbaik selepas menewaskan pendahulu Arsenal 1-0 dalam perlawanan pertama Sean Dyche sebagai pengurus.
"Perbezaannya ialah ia tidak di sana (Goodison Park) sebaliknya di sini (Anfield). Jadi kami perlu memastikan misi pasukan dalam perlawanan ini capai matlamat," kata Klopp.
LIGA PERDANA INGGERIS
SABTU (11 FEBRUARI)
West Ham United lwn Chelsea, 8.30 malam
Fulham lwn Nottingham Forest, 11 malam
Leicester City lwn Tottenham Hotspur, 11 malam
Arsenal lwn Brentford, 11 malam
Crystal Palace lwn Brighton, 11 malam
Southampton lwn Wolves, 11 malam
AHAD (12 FEBRUARI)
Bournemouth lwn Newcastle United, 1.30 pagi
Leeds United lwn Manchester United, 10 malam
ISNIN (13 FEBRUARI)
Manchester City lwn Aston Villa, 12.30 pagi
SELASA (14 FEBRUARI)
Liverpool lwn Everton, 4 pagi
-- Sinar Harian