Klopp belum fikir tentang Barcelona

Astro Arena
April 27, 2019 11:14 MYT
Jurgen Klopp belum fikir mengenai perlawanan menentang Barcelona. - Foto Stadium Astro.
Jurgen Klopp mendedahkan dia masih belum mencari jalan untuk Liverpool berdepan Barcelona dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL).
Liverpool mempamer aksi cemerlang berdepan Huddersfield Town awal pagi tadi untuk kembali mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL), Sadio Mane dan Mohamed Salah meledak dua gol ketika merakamkan kemenangan 5-0 sementara Naby Keita menjaringkan gol pembukaan terpantas di Anfield (15 saat).
Barca merupakan halangan seterusnya di Nou Camp, namun Klopp enggan memikirkan mengenai pertembungan berdepan gergasi Sepanyol ketika menghadapi aksi domestik.
"Boleh anda bayangkan, saya masih belum memikirkan tentang Barca sehingga hari ini," kata Klopp.
"Saya telah menyaksikan mereka hampir 100 kali, tetapi saya tidak memikirkan tentang mereka.
"Kami akan bermula sekarang, kami memiliki lima hari sebelum perlawanan, ia cukup untuk rehat, berlatih dan pulih.
"Banyak pasukan telah berusaha untuk menang di Nou Camp. Ia tidak mungkin berlaku untuk kami, tetapi ia bukan satu perkara yang mustahil. Kami akan membuat perancangan, tetapi bukan sekarang.
Baca: Liverpool belasah Huddersfield 5-0
Tekanan kini beralih kepada Manchester City dalam persaingan takhta liga, skuad bimbingan Pep Guardiola berdepan Burnley esok.
Sebarang kesilapan memberikan kelebihan kepada Liverpool ketika saingan berbaki dua perlawanan namun Klopp enggan memandang terlalu jauh ke hadapan.
"Saya tidak tahu," kata Klopp ketika ditanyakan jika City akan tercicir mata.
"Kami perlu melakukan tugas kami, memenangi perlawanan dan lihat apa yang akan berlaku. Mana-mana pasukan boleh bergelar juara."
#Anfield #barcelona #EPL #jurgen klopp #Liga Perdana Inggeris #Liverpool #Nou Camp #UCL
;