Klopp anggap tidak dapat penalti, Alexander-Arnold punca kekalahan kepada Southampton

Astro Arena
Januari 5, 2021 09:49 MYT
Danny Ings menjaringkan gol pertama pasukannya ketika perlawanan EPL antara Southampton dan Liverpool di Stadium St Mary's, Southampton, Britain, 4 Jan, 2021. REUTERS
JURGEN Klopp berasakan kekalahan Liverpool kepada Southampton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi berpunca daripada kesilapan awal Trent Alexander-Arnold dan kegagalan pengadil memberikan pasukannya sepakan penalti.
Jaringan tunggal daripada bekas penyerang The Reds, Danny Ings, pada minit kedua sudah cukup untuk memastikan kemenangan 1-0 skuad The Saints itu di Stadium St Marry.
James Ward-Prowse melambungkan bola menerusi sepakan percumanya ke dalam kawasan penalti dan selepas Alexander-Arnold gagal memintas bola itu, Ings menghasilkan penyudah bijak untuk mengatasi penjaga gol, Alisson.
Liverpool berusaha keras dalam babak kedua tetapi hanya mampu melakukan satu percubaan tepat daripada keseluruhan 17 yang dihasilkan, selain tidak diberikan sepakan penalti ketika kaki Sadio Mane kelihatan disekat kaki Kyle Walker-Peters dan rembatan Georginio Wijnaldum terkena lengan Jack Stephens.
Kesemua insiden itu menjengkelkan Klopp walaupun mengakui permulaan perlahan pasukannya memberikan kesukaran buat juara bertahan itu.
"Ia menjadikan hidup amat susah," katanya kepada Sky Sports.
"Ideanya amat bagus tetapi kami memiliki pemain yang boleh mengeluarkan bola dan dia terlepas. Semua perkara ini boleh terjadi kepada manusia tetapi seberapa hebat gerakan set-piece itu, kami sedar mereka mampu melakukannya, kami mempunyai pemain di sana dan dia terlepas bola dan selepas itu sudah pasti mereka melakukan penyudah.
"Penguasaan bola yang kami ada, dengan cara kami bermain, Fraser Forster sepatutnya bekerja lebih keras tetapi itulah situasi yang kami letakkan kepada diri kami sendiri.
"Kami mempunyai penguasaan yang amat-amat panjang dalam babak kedua di mana Southampton tidak dapat melakukan apa-apa dalam permainan, tiada serangan balas, jadi ia sesuatu yang baik.

50 - Danny Ings' strike was his 50th in the Premier League (124 apps), with this goal against Liverpool the earliest he's scored in the competition (1:51). Blistering. #SOULIV pic.twitter.com/RfctW9RqHy

— OptaJoe (@OptaJoe) January 4, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Situasi terbaik yang kami peroleh adalah ketika Sadio mendapatkan bola dan kemudian... jika ada sesiapa selepas ini berkata Sadio Mane suka merebahkan badan, ia satu gurauan paling kelakar dalam dunia. Pemain itu cuba untuk kekal berdiri.
"Pasukan lain akan mendapatkan penalti, saya bolah kata seperti itu. Kemudian bola terkena tangan, saya tidak tahu siapa yang dapat menjelaskannya kepada saya.
"Ia tidak menjadikan prestasi kami lebih baik dan tidak memberikan sebarang kerugian buat Southampton tetapi dalam situasi itu, kami sekurang-kurangnya tidak bernasib baik," katanya.
Liverpool masih kekal di tangga teratas EPL dengan jumlah mata yang sama dengan Manchester United tetapi skuad The Red Devils itu memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan.
#jurgen klopp #EPL #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #Liverpool #Sadio Mane #pengadil #sepakan penalti #kesilapan #Trent Alexander-Arnold #Danny Ings #percubaan tepat
;