Klopp akui sukar atasi pergerakan Hazard
Astro Arena
September 29, 2018 17:43 MYT
September 29, 2018 17:43 MYT
PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, menegaskan pasukannya menyedari penyerang Chelsea, Eden Hazard, bukan mudah untuk dihalang menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), malam ini.
Hazard mempamerkan permulaan musim yang cemerlang, menjaringkan lima gol dan melakukan dua bantuan jaringan dalam enam aksi EPL.
Pemain kebangsaan Belgium itu turut meledak gol yang cemerlang ke atas Liverpool dalam aksi Piala EFL, awal pagi kelmarin.
Manakala Klopp mengetahui kebolehan Hazard menjelang pertemuan di Stamford Bridge, pengendali kelahiran Jerman itu mengakui sukar untuk memberikan keutamaan kepada pemain berusia 27 tahun itu.
"Ketika Borussia Dortmund berdepan Real Madrid (dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL)), saya menurunkan Mario Gotze untuk berdepan Xabi Alonso tetapi kali ini, saya tidak akan melakukannya kerana Hazard seorang pemain yang fleksibel," katanya.
"Dia berada hampir di seluruh padang.
"Saya menghormati pemain seperti Hazard. Saya gemar melihat dia beraksi tetapi dia tidak boleh diatasi dengan seorang pemain.
"Kami akan berusaha menutup ruang, menyukarkan lawan untuk melakukan hantaran."
Liverpool menghuni tangga teratas EPL dengan enam kemenangan setakat ini.