Klinsmann yakin Taegeuk Warriors galas tugas sebaiknya dengan Soccerroos

Bernama
Februari 1, 2024 23:02 MYT
Klinsmann menjangkakan pasukannya sekali lagi akan menempuh waktu yang sukar esok. - Gambar fail/AP
DOHA: Pengendali Korea Selatan, Jurgen Klinsmann menegaskan bahawa tiada apa yang boleh menghalang pasukannya daripada memenangi kejuaraan menjelang suku akhir Piala Asia 2023 menentang Australia di Stadium Al Janoub di Al Wakrah, esok.
Klinsmann juga tidak menganggap tempoh rehat yang singkat menjelang pertembungan berbanding lebih lama oleh Australia akan menjadi masalah.
Jurulatih kelahiran Jerman berusia 59 tahun itu berkata memandangkan kebanyakan pemainnya bermain di Eropah, mereka sudah biasa dengan tempoh rehat yang singkat antara perlawanan.
"Hari rehat adalah nyata, anda menerimanya dan teruskan. Kami sudah bersedia untuk perlawanan besar ini dan kami sangat 'lapar'. Kami mahu melaluinya dan jika anda mahu melalui fasa kalah mati dalam kejohanan besar anda mesti bersedia untuk menderita. Anda mesti bersedia untuk menanggung kesakitan dan itu adalah perkara biasa.
"Mereka (pemain Korea Selatan) bermain seperti ini dengan kelab mereka. Ramai di antara mereka beraksi di Eropah pada setiap tiga atau empat hari, jadi tiada masalah," katanya sambil tersenyum lebar semasa sidang media praperlawanan, di sini hari ini.
Pemenang Piala Dunia 1990 itu, dengan senyuman menawan sambil mendengar dan menjawab soalan media hampir sepanjang sidang media, adalah antara jurulatih yang mencuri perhatian dalam kempen ini.
Australia, yang menewaskan Indonesia 4-0 dalam pusingan 16 terakhir pada Ahad (28 Jan), mempunyai empat hari untuk bersedia untuk perlawanan suku akhir manakala Taegeuk Warriors hanya mempunyai dua hari selepas menewaskan Arab Saudi 4-2 menerusi penentuan penalti pada Selasa (30 Jan).
Klinsmann, yang membantu Jerman menjuarai Kejohanan Eropah untuk kali ketiga pada 1996 sebagai pemain, menjangkakan pasukannya sekali lagi akan menempuh waktu yang sukar esok.
"Australia adalah pasukan yang sangat bagus dan telah bermain dengan baik dalam kejohanan itu. Kami sangat menghormati mereka dan saya fikir ia akan menjadi satu pertarungan mendebarkan sebagaimana setiap perlawanan kalah mati. Ia akan menjadi 50-50 tetapi kami sudah bersedia.
"Kami telah berjuang selama 120 minit menentang Arab Saudi dan kami akan melakukan apa sahaja yang diperlukan menentang Australia kerana kami mahu melangkah lebih jauh," kata Klinsmann, sambil menambah bahawa pasukanya juga bersedia untuk sebarang kemungkinan termasuk penentuan sepakan penalti.
Penyerang Korea Selatan, Cho Gue-sung yang mengulangi keyakinan jurulatihnya, berkata walaupun Socceroos hebat, beliau yakin sepenuhnya rakan sepasukannya mampu menyudahkan tugas itu dengan jayanya.
"Australia adalah pasulkan yang kuat dengan benteng pertahanan yang mantap tetapi kami mempunyai kelebihan tersendiri dan tiada tekanan ke atas kami. Kami mempunyai banyak kualiti untuk bergerak ke hadapan dengan kepantasan barisan depan.
"Bagi kami, ia lebih kepada cara kami bermain dengan menggunakan kekuatan maksimum menentang barisan Australia yang bagus. Semoga, kami dapat hasil yang diinginkan esok," kata pemain berusia 26 tahun itu yang bermain untuk kelab Denmark, FC Midtjylland.
Perlawanan esok akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua pasukan dalam Piala Asia sejak Socceroos mengalahkan Korea Selatan 2-1 dalam final edisi 2015 untuk gelaran pertama mereka.
Korea Selatan menjadi juara pada 1956 dan 1960 dan berharap untuk mengakhiri penantian 64 tahun mereka untuk gelaran ketiga di Doha.
-- BERNAMA
#Piala Asia 2023 #perlawanan besar #fasa kalah mati #menanggung kesakaitan
;